KOTA BHARU: Lajnah Pembangunan dan Kerukunan Keluarga Islam (LPKKI) Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong tindakan pihak berkuasa menahan individu ‘Abang Bas’ yang isunya tular baru-baru ini.
Ia berikutan tindakan individu tersebut memuat naik rakaman video di media sosial mengenai penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai ‘crush’ beberapa hari lalu.
LPKKI juga amat bersetuju dengan ketegasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.
Pengerusi LPKKI Dewan Muslimat PAS Malaysia Ustazah Asmak Husin berkata, sejak awal lagi muslimat bergerak bersama masyarakat agar mereka memahami isu sebegini.
Menurutnya, dalam perjuangan PAS sangat peka dengan isu sebegini, kerana itu pihaknya sering turun ke bawah bersama masyarakat supaya menjaga sebaik mungkin anak-anak mereka.
“Kami amat menyokong tindakan tegas menteri dalam soal ini sehingga tertangkapnya ‘Abang Bas’ yang membuat ‘content’ ke atas pelajar sekolah rendah yang didakwanya sebagai ‘crush’ (orang yang disukai),” katanya.
Tambah Asmak, walaupun niat saudara tersebut adalah untuk menghasilkan kandungan, namun perlu difahami, bukan semua perkara boleh dijadikan sedemikian.
Jelasnya, walaupun salah seorang kanak-kanak di dalam video tersebut difahamkan adalah anak buah beliau, namun perkara yang dilakukan tetap tidak sesuai.
“Kita perhatikan isu semasa sekarang, keluarga terdekat pun kadang-kadang tak boleh dipercayai. Isu ‘sexual grooming’ memang benar-benar boleh berlaku walaupun tiada niat pada peringkat awalnya,” katanya lagi.
Jelasnya, Islam sangat menitikberatkan penjagaan dan penampilan kanak-kanak di mana dari kecil mereka perlu dididik mengenai pandangan mata sama ada boleh dan tidak boleh, begitu juga soal sentuhan fizikal.
Selain itu katanya, mereka telah diajar sejak kecil mengenai pergaulan sama ada boleh dan mana tidak, bahkan bahasa yang sesuai digunakan dan mana pula tidak dibolehkan.
“Perkara ini bukan semata-mata berkaitan dengan boleh atau tidak boleh sahaja tetapi juga dosa pahala, halal dan haram. Lebih-lebih lagi sekarang, dunia terbuka dengan akses kepada internet dan media sosial yang luas,” katanya dalam kenyataan.
Secara peribadi jelasnya, beliau telah membuat program kesedaran tentang isu pedophile, sexual grooming, penampilan kanak-kanak secara terbuka di media sosial.
Tambahnya, aurat kanak-kanak dan manipulasi kanak-kanak mengikut perspektif Islam sejak lebih 10 tahun lalu berlaku apabila internet mula menguasai masyarakat.
Namun, hari ini, tambahnya isu berkenaan menjadi semakin parah, sedangkan beluau memberitahu, kanak-kanak adalah aset berharga.
Katanya, Malaysia telah perkenalkan perundangan seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 untuk melindungi daripada eksploitasi seksual.
“Usaha ini seiring dengan tindakan di peringkat antarabangsa, seperti United Kingdom dengan Sexual Offences Act 2003 dan Amerika Syarikat dengan Protect Our Children Act of 2008, yang menunjukkan komitmen global dalam menangani isu ‘sexual grooming’,” katanya lagi.
Menurut beliau, ia penting untuk semua pihak kembali kepada fitrah Islam dalam menjaga hak kanak-kanak sepatutnya dan membiarkan mereka membesar secara fitrah.
Tambahnya, pendidikan awal dan pengawasan yang berterusan adalah kunci untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak kita.
“Marilah kita bersama-sama mengambil langkah proaktif untuk melindungi generasi muda kita daripada ancaman ini. Kembali kepada ajaran Islam yang memartabatkan hak dan maruah kanak-kanak adalah langkah terbaik dalam menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024