KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) telah mendapatkan pemain baru pada perpindahan kedua.
Ketua Jurulatih, Park Jaehong optimis kehadiran mereka akan menambah kekuatan skuad kendaliannya menjelang perlawanan Liga Super menentang JDT FC dan Negeri Sembilan FC.
Jelas Park, membawa masuk pemain dengan kemampuan dengan kualiti berbeza selain berperanan di pelbagai posisi bakal mengubah pasukannya menjadi lebih sukar diramal.
“Kehadiran lima pemain baharu akan menyebabkan KDN FC menjadi lebih baik terutamanya jentera serangan yang tumpul sebelum ini.
“Saya mempunyai banyak pilihan pemain dan kami juga boleh membuat penggiliran berdasarkan taktikal perlawanan,” katanya.
Setakat ini, katanya skuad Sang Kijang Emas telah menandatangani dengan Layth Kharoub, Aung Kaung Mann, Hakimi Abdullah, Muhaimin Izzudin serta Fikri Che Soh.
“Kecuali Fikri, empat pemain lain berkeupayaan bermain di posisi serangan,” katanya.
Menurutnya, ia satu tambahan yang bagus di samping mampu memberikan lebih pilihan bagi memburu jaringan.
“Sekarang kami perlu melihat kehadapan kerana kami mahu memperbaiki pasukan.
“Selepas itu, kami berniat untuk masuk semula ke dalam persaingan dan merebut mata pada setiap perlawanan. Kami kena cari mata untuk keluar dari tangga terakhir,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2024