ALOR SETAR: Terminal Bas Shahab Perdana akan berubah wajah bertaraf ‘A’ setanding prasarana sama di bandar raya lain dalam negara apabila kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan siap menjelang April 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, tindakan awal pada Oktober ini adalah dengan membina laluan tiket automatik terlebih dahulu.
” Tetapi buat sementara ini bas-bas masih menggunakan laluan sedia ada yang ditetapkan sebelum ini. April tahun depan, laluan bas akan diubah operasinya ke tempat lain tetapi masih di dalam kawasan Terminal Shahab Perdana.
“(Ini) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan seperti baiki bumbung, tandas, surau, mengecat dinding, dan lain-lain,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.
Mansor sebelum ini bersama pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) turun ke lapangan meninjau keadaan terminal bas tersebut yang dilaporkan banyak mengalami kerosakan serta kurang selamat kepada pengguna terutama di waktu malam.
Malah ADUN Kuala Ketil itu juga telah mengadakan perbincangan bersama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Mohd Yusri Md Daud mengenai hal tersebut.
Katanya lagi, projek baik pulih itu akan diserahkan kepada syarikat swasta dan kerja-kerja penyelenggaraan hanya melibatkan prasarana dengan mengekalkan bangunan sedia ada.
“Terminal Bas Shahab Perdana ini akan dibina pagar, di samping ciri-ciri keselamatan yang lain dan diyakini dapat memberi keselesaan kepada pengguna.
“Buat masa sekarang, terminal ini masih di tahap ‘C’, InsyaAllah ia akan mencapai tahap ‘A’ apabila kerja-kerja baik pulih selesai nanti,”
tambah beliau lagi.
Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar adalah terminal bas utama di bandar raya ini dan menjadi pusat hentian bas ekspres untuk mengambil dan menurunkan penumpang ke semua destinasi Semenanjung Malaysia, termasuk bas tempatan.
Sebelum ini terdapat banyak kemudahan di sini, seperti stesen teksi, gerai makan di tingkat atas, gerai-gerai jualan makanan ringan, tandas, surau, mesin ATM selain kios tiket bas ekspres.
Namun Terminal Bas Shahab Perdana menjadi agak suram antara lima hingga enam tahun kebelakangan ini apabila terdapat banyak kerosakan selain prasarana sedia ada juga sebahagiannya ditutup. – HARAKAHDAILY 6/9/2024
