PHNOM PENH: Kemboja pada Khamis menyatakan bahawa China akan menyerahkan dua kapal perang kepada negaranya itu tidak lama lagi bagi meningkatkan keupayaan pertahanannya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata berkata, China akan menghantar dua kapal jenis korvet baru yang dipanggil sebagai ‘Type 056C’, dengan penghantaran paling awal dijadualkan pada tahun depan, lapor CNA.
“Satu-satunya matlamat adalah untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan Kemboja untuk melindungi dan mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan serta untuk menyokong operasi mencari dan menyelamat dan aktiviti kemanusiaan lain di laut.
“Kapal itu sedang dibina khas untuk Kemboja, dan dijangka siap dan diberikan kepada Kemboja pada 2025,” katanya.
Tindakan China itu dilihat bakal mendatangkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang merasakan bahawa tindakan tersebut akan meningkatkan pengaruh ketenteraan China di Teluk Thailand yang dilihat sebagai satu kawasan yang strategik.
Kemboja adalah salah satu sekutu rapat China, dan AS telah lama menyimpan kebimbangan mengenai pengubahsuaian yang dibiayai oleh China di Pangkalan Tentera Laut Ream negara itu.
Socheata dalam pada itu berkata bahawa fasa pertama pembesaran pangkalan Tentera Laut Ream telah selesai, dan kerja-kerja bagi fasa kedua sedang dijalankan dan akan selesai tidak lama lagi.
Beliau turut menafikan bahawa pangkalan berkenaan akan digunakan oleh tentera asing, sambil berkata Kemboja tidak akan membenarkan mana-mana tentera asing menubuhkan pangkalan di negaranya itu. – HARAKAHDAILY 6/9/2024