ARAU: Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim menolak dakwaan Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah yang menyamakan penubuhan SG4 Group Sdn Bhd dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Shahidan, SG4 Group merupakan entiti milik bersama empat negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, manakala 1MDB adalah entiti milik Kerajaan Pusat.
Beliau menegaskan bahawa terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat tersebut, baik dari segi struktur mahupun objektif.
Tuduhan yang dibuat itu menurut Shahidan, adalah tidak berasas dan berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai konsep sebenar SG4 Group.
“Saya terpanggil untuk memberi komen kerana orang yang menulis ini dangkal ilmu. 1MDB milik kerajaan pusat, manakala SG4 Group melibatkan saham milik bersama empat negeri,” kata Shahidan.
Beliau merujuk kenyataan Mohd Raqib Abu Hassan yang mendakwa SG4 Group meniru konsep 1MDB kerana ia bertujuan menarik pelaburan luar negara dan mengambil hasil daripada negeri-negeri terlibat.
Shahidan menekankan bahawa SG4 Group sudah mempunyai sasaran pelaburan yang jelas, termasuk pembangunan sumber galian industri nadir bumi (REE) di negeri-negeri terlibat.
Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menjelaskan, penubuhan SG4 Group adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pentadbiran negeri-negeri tersebut dengan mengagihkan kekayaan secara saksama.
Setiap negeri yang terlibat memiliki 25 peratus saham dalam syarikat tersebut, memastikan negeri seperti Perlis turut mendapat faedah daripada pembangunan ekonomi.
Shahidan berharap SG4 Group akan membawa manfaat besar kepada ekonomi negeri-negeri terlibat dan tidak perlu dibandingkan dengan entiti lain seperti 1MDB. – HARAKAHDAILY 6/9/2024