Utamakan identiti kebangsaan dalam ‘unity in diversity’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP disarankan untuk lebih menitikberatkan penerimaan semua kaum di Malaysia terhadap identiti kebangsaan yang menjadi penyatu sekiranya benar-benar ingin menghargai konsep ‘unity in diversity’ (kesatuan dalam kepelbagaian) dalam negara.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, mengeluarkan kenyataan itu susulan komen seorang pemimpin DAP yang juga merupakan menteri kabinet, yang menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu sebagai ‘mesej yang kuat tentang kesatuan dalam kepelbagaian’ merujuk kepada penggunaan tulisan Cina dan Tamil yang pertama kali dipamerkan dalam perayaan tersebut di Putrajaya.

Beliau berkata, kontroversinya tulisan Cina dan Tamil yang dipamerkan buat pertama kali semasa sambutan berkenaan di Putrajaya masih hangat dibualkan.

- Advertisement -

“Istilah ‘unity in diversity’ atau kesatuan dalam perbezaan itu juga adalah kebetulan slogan jiran kita Republik Indonesia iaitu ‘Bhinneka Tunggal Ika’ yang terpapar pada jata negaranya.

“Kita boleh setuju bahawa masyarakat dalam negara kita punya pelbagai adat dan budaya lantaran perbezaan kaum dan kepercayaan.

“Kita yang berbeza dari sudut kaum dan agama itu disatukan atas kerakyatan dan kewarganegaraan yang sama, semua kita rakyat Malaysia,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Menurutnya, konsep ‘unity in diversity’ bermaksud semua kaum bersatu walaupun mempunyai perbezaan, dan penyatuan itu berlaku melalui identiti kebangsaan yang diakui bersama.

Identiti itu, menurutnya hanyalah satu dan satu itulah yang menyatukan semua yang berbagai-bagai ini.

Katanya, ‘unity in diversity’ bermaksud semua kaum menerima dan berbangga dengan identiti kebangsaan yang sama dan satu.

“Bagi kita di Malaysia, semua kita menerima dan memperakui dengan bangga bahawa Islam adalah Agama Persekutuan walau agama-agama lain bebas diamalkan.

“Bahawa Institusi Raja-raja Melayu (walau tiada dalam budaya masyarakat Cina dan India asal) kita berikan taat setia tanpa berbelah bahagi.

“Seterusnya dalam isu bahasa, kita menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa yang menyatukan kita semua walau bahasa ibunda yang lain diraikan,” jelas beliau.

Roslan turut menambah bahawa tulisan Jawi, sebagai tulisan asal Melayu, juga perlu dihormati oleh semua, kerana ia terpapar dalam jata negara dengan frasa ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ yang ditulis dalam rumi dan Jawi.

Tambahnya, kerana itu ada negeri-negeri yang kenakan syarat tulisan Jawi di papan-papan iklan perniagaan termasuk Pahang.

“Sehubungan dengan itu identiti kebangsaan kita juga mengangkat baju Melayu sebagai baju kebangsaan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, baju yang digunakan dalam adat istiadat rasmi negara sama ada dikenakan dengan songkok atau tanjak.

Malahan, ujarnya semasa perayaan Sambutan Pengisytiharan Kemerdekaan di Stadium Merdeka 31 Ogos 1957, Raja-raja Melayu berserta menteri kabinet semuanya mengenakan baju Melayu,” jelasnya.

Beliau juga membandingkan dengan konsep ‘Bhineka Tunggal Ika’ di Indonesia, yang menurutnya lebih tegas dalam menyatukan rakyat di tengah perbezaan, serta mencipta harmoni sosial dan memperkukuh identiti nasional yang beragam.

“Semoga perayaan tahun-tahun seterusnya memberi mesej penyatuan yang sebenar, semoga tiada lagi yang keliru,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/9/2024