KOTA BHARU: Penternak di Kelantan menaruh harapan besar terhadap penubuhan syarikat SG4 Global Sdn Bhd bagi menangani masalah bekalan makanan haiwan ternakan di negara ini.
Kata mereka harga makanan haiwan ternakan semakin mahal sekarang.
Wakil penternak, Mohd Nasir Mohd Ghani mencadangkan sebuah kilang dibina dengan kerjasama strategik empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bagi menghasilkan bahan mentah.
Katanya, negeri terbabit mempunyai potensi menghasilkan bahan mentah makanan haiwan daripada jagung bijirin, padi dan isirung kelapa sawit.
“Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) beberapa tahun lalu mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu untuk diusahakan tanaman jagung bijirin.
“Bahan makanan haiwan menjadi dilema bagi penternak di Kelantan kebelakangan ini dengan peningkatan harga diesel.
“Dengan penubuhan syarikat Global SG4 kita menaruh harapan besar kepada kerajaan membina kilang untuk menghasilkan bahan makanan haiwan bagi mengurangkan harga di pasaran,” katanya di sini.
Pada Sidang Kemuncuk Kerajaan Empat Negeri (SG4) Isnin lepas Ketua Panel Penasihatnya Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan diwujudkan syarikat SG Global Sdn Bhd bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di SG4.
Mohd Nasir juga berkata, beliau yakin dengan potensi dan kemampuan SG4 bekerjasama menyelesaikan makanan haiwan ternakan tanpa bergantung kepada bahan import dari luar negara.
Jagung bijirin merupakan makanan ternakan dan permintaan meningkat 10 peratus setiap tahun.
Pada 26 Februari 2019 Malaysia berharap dapat menghasilkan jagung bijirin sebanyak 1.44 juta metrik tan di kawasan seluas 80,000 hektar menjelang tahun 2032.
Ketika itu Malaysia mengimport RM3.09 bilion jagung bijirin dan RM2.1 bilion kacang soya dari luar negara. – HARAKAHDAILY 5/9/2024