Pelabur ditawar bina kilang makanan ternakan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan mempunyai potensi dan ada kemampuan menyediakan bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan sama ada ruminan atau unggas.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelabur yang berminat ditawar memajukan sektor pertanian terutamanya membina kilang makanan ternakan.

Katanya, kilang tersebut yang ada sekarang hanya skala kecil dan tidak mampu menampung keperluan penternak.

“Sektor tersebut diyakini lebih cepat berkembang kerana potensi yang ada sekarang,” katanya pada segmen Podcast Yayasan Strategik Lestari baru-baru ini.

Program tersebut merupakan siri ketiga selepas anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Saifullizam Abdul Kadir.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kerajaan negeri memerlukan kerjasama pelabur bagi membangunkan ladang ayam penelur dan menyediakan pusat benih padi.

Menurutnya kedua-dua segmen tersebut masih kurang di Kelantan sedangkan permintaan terhadap telur dan benih padi sentiasa meningkat.

“Kita mengalu-alukan pelabur membuka ladang ternakan ayam penelur dan pedaging di Kelantan. Kita perlu juga pusat benih padi kerana yang ada belum mencukupi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2024