NABI Ibrahim melihat anaknya sedang mengasah mata anak panah. Baginda mendekatinya dan memberitahu mengenai perintah Allah untuk membina Kaabah. Anaknya bersetuju. Jadi, mereka berdua pun membinanya. Dalam sejarah, Kaabah pernah runtuh dan dibina semula sebanyak beberapa kali.
Ada beberapa pendapat yang menyatakan siapa yang mula-mula membina Kaabah. Pendapat yang pertama menyatakan malaikat. Ada pendapat lain menyatakan orang yang pertama membina Kaabah ialah Nabi Adam.
Apabila turun ke bumi, baginda merasa menyesal dengan kesilapannya semasa berada di dalam syurga. Baginda berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan membina bangunan. Baginda beribadah di sekitarnya.
Namun, pendapat yang masyhur menyatakan Nabi Ibrahim ialah orang yang mula-mula membina Kaabah. Berdasarkan ayat 125 surah Al-Baqarah, Nabi Ibrahim membina Kaabah mengikut pedoman Allah SWT dan juga pertolongan malaikat.
Pada awalnya, malaikat menurunkan batu. Kemudian, batu-batu lain diambil dan disusun-susun sehinggalah selesai. Bentuknya berbeza dengan yang ada pada hari ini. Terdapat dua pintu, pintu masuk dan keluar. Satu pintu di bahagian yang ada seperti hari ini dan satu lagi di bahagian bertentangan yang telah ditutup.
Setelah Kaabah selesai dibina, atas perintah Allah, Baginda berdiri di atas makam dan menyeru seluruh manusia bagi mengerjakan ibadah haji di Makkah. Selepas tawaf, kita disunatkan untuk solat di belakang makam Nabi Ibrahim. Ia bukanlah kubur yang menempatkan jenazah, sebaliknya merupakan binaan yang mengandungi batu hampar kecil.
Ketika baginda menyeru, Allah menjadikan suaranya kedengaran ke seluruh dunia. Tengoklah pada hari ini, orang yang datang dari seluruh ceruk rantau terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Kita nak membeli di sana pun mudah sebab penjualnya pandai berbahasa Melayu. Inilah berkatnya doa Nabi Ibrahim.
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَ ٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنࣰا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَ ٰتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡهُم بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِیلࣰا ثُمَّ أَضۡطَرُّهُۥۤ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِیرُ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”. (Surah Al-Baqarah: 126)
Berkat doanya, tanah Makkah menjadi aman dan rezekinya datang dari seluruh pelusuk dunia. Baginda meminta supaya diberikan buah-buahan kerana orang Arab pada ketika itu makan buah-buahan. Tetapi sekarang segalanya ada belaka di sana.
Ketika membina Kaabah bersama-sama dengan anaknya, baginda tidak putus-putus berdoa.
وَإِذۡ یَرۡفَعُ إِبۡرَ ٰهِـۧمُ ٱلۡقَوَاعِدَ مِنَ ٱلۡبَیۡتِ وَإِسۡمَـٰعِیلُ رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (Surah Al-Baqarah: 127)
رَبَّنَا وَٱجۡعَلۡنَا مُسۡلِمَیۡنِ لَكَ وَمِن ذُرِّیَّتِنَاۤ أُمَّةࣰ مُّسۡلِمَةࣰ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبۡ عَلَیۡنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِیمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Baqarah: 128)
Baginda berdoa sehingga menyebut anak cucu. Kita kadang-kadang berdoa untuk diri kita sahaja, untuk isteri sendiri pun tidak. Dengan berkat doa tersebut, kita boleh pergi ke Makkah, menunaikan umrah dan solat dengan baik. – HARAKAHDAILY 5/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.