KUALA LUMPUR: Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang pertama kali diperkenalkan oleh PAS kini sedang berjalan lancar.
WINS 2051 merupakan rangka kerja untuk membina negara menuju Malaysia memimpin yang bakal menjadi model contoh kepada negara luar berkonsepkan model negara Islam.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, fasa pertama bermula dari tahun 2018 sehingga 2030.
Menurut beliau, ia merupakan fasa yang membawa transformasi negara daripada masalah yang sedang membelenggu negara hari ini dalam aspek ekonomi, sosial dan politik kepada solusi Islam.
“Sejak penubuhan parti PAS pada 1951, PAS konsisten dengan matlamat perjuangan mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terkandung di dalamnya nilai-nilai dan hukum Islam.
“Inilah pengorak langkah PAS memperjuangkan kemerdekaan yang sebenar kepada Tanah Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PAS Selangor.
Tambah beliau, setelah 73 tahun jatuh bangun PAS dalam kancah politik Malaysia, PAS kini berjaya memimpin empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diketuai menteri-menteri besar daripada pemimpin tertinggi PAS.
“Melihat kepada keistimewaan kedudukan geografi, empat buah negeri ini dan kepelbagaian hasil sumber yang boleh dimanfaatkan.
“Maka SG4 digagaskan sebagai sebuah koridor kerjasama untuk saling melengkapi bagi mencapai kemajuan negeri dalam pelbagai bidang,” jelasnya.
Memetik ucaptama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ujar Zurk, idea SG4 sangat menarik kerana ia menghubungkan dua buah negeri pantai barat dengan dua negeri di pantai timur.
Katanya lagi, sumber negeri yang berbeza daripada keempat-empat negeri tersebut akan membuka peluang ekonomi yang lebih luas dan pelbagai.
“Cetusan idea SG4 ini telah dimulakan pada 2 September tahun lalu.
“Gerak kerja SG4 merupakan perjuangan negeri-negeri pembangkang membangun negeri secara mandiri tanpa terikat dengan Persekutuan namun masih menghormati konsep federalisme dalam negara,” ujarnya.
Justeru beliau berharap, program yang bakal dibuat perlu memfokuskan kepada agenda menyelesaikan masalah rakyat, menggunakan sumber negeri bagi menguasai ekonomi dalam negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Sehubungan itu, Zurk berkata, bagi menyambut genap setahun SG4, Selangor telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sidang Kemuncak SG4 tahun pada ini.
“Semoga kedatangan SG4 mencetuskan semangat buat negeri Selangor bersedia mempersiap langkah bersama menuju SG5 pada PRU-16 akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2024