KOTA BHARU: Walaupun tiada Unit Integriti secara khusus di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan, namun seorang Pegawai Integriti dilantik sebagai Urusetia Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) di setiap PBT.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, JAR berperanan sebagai Pegawai Siasatan Jabatan.
Katanya pegawai terbabit juga berperanan sebagai Pegawai Perhubungan antara Jabatan atau agensi dengan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Lagi pun kerajaan Kelantan sudah lama mengutamakan integriti dan tatakelola dalam pentadbiran sejak awal 1990-an dengan menjadikan dasar Membangun Bersama Islam sebagai pandu arah,” katanya di sini.
Beliau menjelaskan perkara itu sebagai menjawab kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mendedah PBT di Kedah, Perlis dan Kelantan belum menubuh unit integriti.
Hilmi berkata, menteri terbabit perlu lebih telus dengan menyenaraikan status penubuhan Unit Integriti di kesemua 156 PBT di Malaysia dan tidak tertumpu di tiga negeri sahaja.
Kata beliau juga sebagai kerajaan yang mengamalkan dasar MBI, isu integriti dan tatakelola dalam pentadbiran menjadi prinsip asas dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Pengamalan itu ditambah baik dengan perlaksanaan kerja berteraskan prinsip Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI) bagi membudayakan amalan integriti dan tatakelola.
“UMI akan mencetuskan rasa tanggungjawab kepada agama, majikan dan amanah kepada diri sendiri yang akan dihitung dan dipersoalkan di akhirat kelak.
“Buktinya sehingga ke hari ini tiada pegawai dan pimpinan kerajaan negeri disabitkan dengan kes rasuah. Pencapaian itu juga diiktiraf SPRM,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) bagi mengadakan program pengisian berbentuk keagamaan kepada semua kakitangan kerajaan dan PBT. – HARAKAHDAILY 5/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!