KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar teruja mengadakan pertemuan bersama Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.
Pertemuan perbincangan itu telah diadakan di Pejabat Menteri Besar Terengganu di sini, pagi semalam.
“Perbincangan kami tentulah ke arah kerjasama yang boleh dijalinkan antara Terengganu dan Jepun.
“Antaranya melibatkan unsur nadir bumi (REE), tenaga hijau dan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut bertukar maklumat semasa, berkongsi pengalaman pentadbiran serta politik antara negeri dan negara Jepun.
“Semoga hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak terus utuh sekali gus memberi manfaat bersama, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mempengerusikan satu pelancaran SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4 Group) yang akan memberi tumpuan untuk memajukan industri memproses unsur nadir bumi (REE) yang telah diadakan di Bangi pada 2 September 2024.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ndustri baharu itu berupaya memberi hasil pendapatan tinggi dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
“Susulan itu, beberapa syarikat luar juga telah mengemukakan permohonan untuk terlibat dengan industri REE tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024