KANGAR: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis telah bersetuju untuk melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ sebagai salah satu inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, berkata semua peniaga diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan bagi menghormati waktu solat.
“Program ini akan berkuatkuasa bermula pada 15 September 2024 di semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri ini.
“Tempoh pelaksanaan program bermula 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib bagi membolehkan para peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.
“Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan, atau di lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur tapak pasar malam tersebut, selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Asrul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang berkata, bagi peniaga bukan Islam turut digalakkan untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan, namun tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perlis berkata, inisiatif ini bertujuan menggalakan para pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuknya waktu solat Maghrib.
“Selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat.
“Buat permulaan, sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ ini dengan memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024