BANGI: PAS Selangor komited untuk memberi sumbangan kepada usaha-usaha Kerajaan Empat Negeri (SG4) dalam usaha membangunkan negeri-negeri dan negara.
Ahli Undangan Negeri Paya Jeras, Dato’ Dr Halim Tamuri yang juga tidak ketinggalan dalam menyertai bengkel bagi Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4.
PAS Selangor dalam kenyataan berkata, penyertaan Halim dalam bengkel tersebut lebih kepada penyumbangan idea dan pengalamannya sebagai mantan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
“Meskipun tidak termasuk dalam senarai negeri SG4, PAS Selangor komited untuk menyumbang kepada usaha membangunkan negeri dan negara.
“Lagi pula kita ada perancangan, ada kepakaran, ada pengalaman dan ada sumber. Jika diurus dengan baik insya-Allah strategi SG4 akan membuahkan hasil yang dapat dinikmati oleh rakyat seluruhnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, perbincangan awal di bengkel tersebut telah memaklumkan usaha awal untuk pembangunan Kluster Pendidikan SG4 ini dimulakan dengan pelancaran program ‘Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan.’
“Tuisyen yang ditawarkan kepada calon SPM dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merupakan sebahagian daripada perancangan kluster ini,” kata kenyataan itu.
Selain itu, menurut PAS Selangor, penglibatan ini adalah sebahagian usaha PN bagi mengisi kemerdekaan negara dengan kemajuan dan kesatuan.
Dalam pada itu, Halim juga telah memuat naik hantaran keterujaannya di halaman Facebooknya yang berpeluang dalam menyaksikan Sidang Kemuncak SG4 di sini pada 2 September lalu.
“Ini adalah perbincangan satu hala tuju yang strategik dalam berbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan pengurusan.
“Usaha ini membuka satu peluang yang lebih baik untuk keempat-empat negeri di bawah kepimpinan PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024