KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan di atas penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Empat Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu (SG4) di Bangi pada 2 September lalu.
Ketua DUPP, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kerjasama sebegini hadir tepat pada masanya bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk sebuah pentadbiran kerajaan yang bukan sahaja bersih daripada sebarang bentuk rasuah dan salah laku, bahkan juga mampu untuk memacu kemajuan di negeri-negeri SG4.
Katanya, DUPP turut mendukung lima prinsip yang digariskan dalam Sidang Kemuncak SG4 yang berlangsung itu.
“Ia merangkumi aspek integriti pentadbiran, pembahagian ekonomi, kerjasama inklusif, perundangan syariah dan penyelesaian Islam dalam kehidupan.
“Prinsip-prinsip ini menggambarkan keseimbangan dan kematangan terhadap lakaran hala tuju yang dibentuk melalui kerjasama SG4.
“Kerjasama SG4 adalah gandingan memperkukuh kemajuan negeri masing-masing secara lebih erat melalui perkongsian strategik dan idea serta tidak sesekali bermaksud mewujudkan ‘Persekutuan’ kedua,” katanya dalam satu kenyataan media.
Justeru, Ahmad Yahaya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut berkata tidak wajar kewujudan ini disalah erti oleh sesetengah pihak.
Tambah beliau lagi, kewujudan kerjasama SG4 ini seharusnya membuka mata kerajaan Persekutuan supaya benar-benar menjunjung prinsip federalisme dalam ruang lingkup pentadbiran.
DUPP juga mengharapkan agar kerjasama ini akan terus memberikan sumbangan utama kepada pembangunan dasar dan polisi yang mampan.
“Kesejahteraan rakyat merupakan keutamaan yang perlu diberikan perhatian yang wajar oleh Kerajaan Negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024