RIYADH: Arab Saudi mengecam kenyataan Israel mengenai paksi Philadelphia, dan menekankan solidaritinya dengan Mesir berdasarkan dakwaan angkuh Israel sebelum ini mengenai isu tersebut.
Kementerian Luar Negeri Saudi dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform, X, mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘percubaan tidak masuk akal Israel untuk mewajarkan pencabulan berterusan Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa’.
Kenyataan Saudi juga memberi amaran tentang akibat daripada ‘kenyataan provokatif’ Israel dalam menjejaskan usaha pihakj pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata kekal dan mencegah peningkatan perang berterusan di rantau itu, lapor Al Arabiya.
Paksi Philadelphia merujuk kepada garis sempadan sejauh 14 kilometer sepanjang sempadan di antara Semenanjung Gaza dan Mesir.
Terdahulu pada Isnin (2 Sept), Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu menggesa ‘tekanan maksimum ke atas Hamas’ dan menyatakan bahawa ‘pencapaian objektif perang’ memerlukan kawalan ke atas Koridor Philadelphia di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.
Netanyahu berkata dalam sidang akhbar di televisyen pada penghujung Isnin, bahawa dia ‘tidak akan menyerah kepada tekenan’ susulan tunjuk perasaan 500,000 warga Israel berhubung kematian enam orang tawanan rakyat Israel di Gaza. – HARAKAHDAILY 4/9/2024