INSAF 2024 diharap pacu kecemerlangan UniSZA, MAIDAM

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menganjurkan International Seminar on Contemporary Islamic Social Finance 2024 (INSAF 2024) di kampus UniSZA, Gong Badak, semalam.

Seminar itu merupakan kesinambungan Seminar on Waqf Contemporary Society (SWICS) yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

Menurut UniSZA menerusi laman Facebooknya, hari ini, penganjuran INSAF 2024 turut bersempena ulang tahun ke-75 penubuhan MAIDAM.

- Advertisement -

Katanya, program itu diadakan bertujuan menggalakkan perkongsian pengalaman dalam pengurusan kewangan sosial Islam terutamanya zakat, wakaf dan takaful mikro.

“Ia turut mewujudkan jalinan kepakaran antara akademia, penggubal polisi dan pemain industri dalam bidang ini,” ujarnya.

Katanya, INSAF 2024 dimulakan dengan ucaptama Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan yang bertajuk ‘Strategi Membasmi Kemiskinan Tegar: Antara Harapan dan Realiti’ diikuti pembentangan oleh Dr Hendri Tanjung, panel dari Badan Wakaf Indonesia dengan tajuk ‘Transformasi Kewangan Islam Sosial: Pengalaman Indonesia’.

Tambahnya, program diteruskan dengan forum zakat oleh Panel Penasihat Syariah Alliance Islamic Bank Berhad, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadhil dan Ustaz Salehuddin Abu Samah dari Lembaga Zakat Selangor.

Untuk sesi wakaf, ujarnya sesi dimulakan dengan pembentangan Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman dari Pusat Pungutan Zakat Wilayah (PPZ) dengan tajuk ‘Inisiatif VBI untuk Pemerkasaan Wakaf’.

Katanya lagi, seterusnya forum oleh dua panel iaitu Executive Director of the Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia, Ratna Sha’erah Kamaludin dan Dr Mohd Ridzuan Mohamad daripada MAIDAM.

Selepas itu, jelasnya program diteruskan dengan pembentangan dan forum Takaful Mikro.

Perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr Shukor Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

“INSAF 2023 turut dimeriahkan dengan penyerahan sumbangan MAIDAM termasuk bantuan bina rumah, bantuan modal perniagaan dan geran penyelidikan untuk penyelidik UniSZA dan UMT,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran INSAF 2024 diharapkan dapat memacu sinergi kecemerlangan hubungan antara UniSZA dan MAIDAM dalam pemindahan ilmu, penyelidikan, khidmat komuniti dan perundingan dalam usaha memperkasakan praktis kewangan Islam sosial. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -