AYER KEROH: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh disaran agar bercermin diri sebelum melontarkan sindiran kepada Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail berkata, sindiran itu malah akan terkena dirinya sendiri ibarat meludah ke langit terkena ke muka sendiri.
Ia susulan satu hantaran di laman Facebook beliau yang bertanya sama ada PAS akan mengarahkan Menteri Besar Perlis dan Kedah yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah agar bercuti.
“Ia juga membuktikan yang Akmal masih bercelaru dengan prinsip perjalanan partinya Umno yang kini sedang bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH-DAP) yang mengetuai Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang ini.
“Malah prinsip itu dipegang oleh PH-DAP yang juga selama ini sering mendesak agar mana-mana pemimpin politik yang sedang menghadapi pendakwaan agar bercuti, namun ia tidak pernah dilaksanakan mereka walaupun mereka berkuasa di peringkat Persekutuan,” katanya.
Tambah Ustaz Wan Zahidi, sindiran Akmal itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah terkena semula kepada rakan sekutunya PH-DAP yang kini tidur sebantal bersama-sama, selain kini telah lari dari perjuangan asalnya.
“Sepatutnya sindiran itu terlebih dahulu ditujukan kepada PMX yang melantik Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di saat dia menghadapi 47 pertuduhan.
“Dr Akmal juga sepatutnya malu kerana bersama-sama dengan PH-DAP yang jelas bertentangan dengan apa yang diputuskan sendiri oleh Presidennya dan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebelum PRU15 bahawa tidak ada kerjasama dengan Anwar dan DAP,” katanya.
Tambah beliau, sepatutnya Dr Akmal memastikan dahulu pemimpin dan partinya mengikut prinsip yang telah mereka putuskan sendiri sebelum bertanya pada parti lain.
“Dengan kapasiti kononnya sebagai pembela Islam, Dr Akmal sepatutnya menegur pemimpin-pemimpin Umno yang hidup dengan pembohongan, lakonan dan pengkhianatan terhadap rakyat.
“Politik menjilat pemimpin Umno telah menyebabkan rakyat muak dan UmDAP dan insya-Allah kedua-duanya bakal tersungkur dalam PRU akan datang,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi PAS Negeri Melaka sebentar tadi.
Beliau turut menggesa semua pihak agar menolak politik bermuka-muka dan lakonan yang menipu rakyat kononnya sebagai pembela Islam dan Melayu tetapi memberi senjata kepada DAP untuk berkuasa. – HARAKAHDAILY 4/9/2024