BENGALURU: Seorang lelaki bertindak menyalahkan Google Maps selepas kesilapan pada aplikasi berkenaan menyebabkannya terlepas penerbangan dari Bengaluru ke Mumbai.
Menerusi perkongsiannya di laman X, Ashish Kacholia berkata, Google Maps gagal menganggarkan masa perjalanan ke lapangan terbang dengan tepat, menyebabkan dia terlepas penerbangannya itu, lapor NDTV.
Menurutnya, dia perlu melakukan perjalanan dari Jalan Hosur Sarjapura (HSR) di bandar berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda (KIA) yang mempunyai jarak sekitar 50 kilometer.
Dia mendakwa aplikasi itu menunjukkan masa perjalanan selama 1 jam 45 minit, tetapi dia telah mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke lapangan terbang itu.
“Semalam, saya terlepas penerbangan saya dari Bengaluru ke Mumbai kerana perjalanan mengambil masa 3 jam dan bukannya 1 jam 45 minit seperti yang ditunjukkan oleh Google Maps.
“Sangat berterima kasih kepada pentadbiran Mumbai kerana melabur dalam infrastruktur untuk memastikan trafik bergerak di ‘Bandar Maksimum’ ini. Hidup adalah relatif,” tulisnya di laman X.
Perkongsiannya pada 30 Ogos lalu itu setakat ini telah mendapat sebanyak 295,000 tontonan dan 295 komen daripada para pengguna yang lain.
Seorang pengguna dengan nama @Mn_1476 memberi komen, “Tuan, salahkan Bengaluru atau Google Maps? Tolong berikan penjelasan.” Kacholia kemudiannya membalas, “sudah tentu, Google Maps,” tulisnya sambil memberikan emoji ketawa.
Sementara itu, @gbhupesh pula menulis, “Sejak akhir-akhir ini, ramalan Google Maps menjadi agak tidak boleh dipercayai. Sentiasa bertanya kepada penduduk tempatan jika keadaan cuaca tidak baik di mana-mana bahagian bandar.”
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pengguna Google Maps telah menemui maklumat lapuk dan arah jalan yang mengelirukan, yang mengakibatkan lencongan serta kesilapan laluan dan kelewatan dalam perjalanan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 3/9/2024