KUALA LUMPUR: Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengutuk kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan bahawa tindakan boikot tidak akan memulihkan keadaan di Semenanjung Gaza.
Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi, berkata kenyataan itu tidak memberikan kesan yang ketara terhadap Gaza serta meletakkan kesalahan kepada Hamas.
“Jumlah kematian telah mencecah lebih 40,000 termasuk 16,000 kanak-kanak dan 10,000 wanita adalah tanda hilangnya nilai kemanusiaan.
“Israel juga telah membunuh 160 orang wartawan, 500 orang pekerja kesihatan dan 100 orang pendakwah Islam, serta memusnahkan 24 hospital, 604 masjid dan tiga gereja.
“Tidak cukup dengan itu, hampir semua sekolah dan universiti di Gaza juga telah dimusnahkan oleh rejim Zionis,” katanya menerusi kenyataan, tadi.
Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat, turut menegaskan bahawa apa yang dikatakan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ada benarnya bahawa pembekal senjata menjadi perunding gencatan senjata adalah sesuatu yang ironi.
“Terserlah ironi tersebut melalui kenyataan Duta AS yang sewajarnya hentikan kecenderungan kepada genosid.
“Kesedaran terhadap genosid di Palestin tidak hanya membara di Malaysia bahkan di seluruh dunia,” katanya.
Justeru, beliau berkata Amerika Syarikat harus berasa malu untuk terus mempertahankan sekutu yang melakukan jenayah pembunuhan terang-terangan sepertimana diakui oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Malah, Israel turut melanggar segala ketetapan antarabangsa termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024