EPIC bangunkan kemudahan pengitaran semula kapal

Pelabuhan Kemaman.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad melalui anak syarikatnya EPIC Marine sedang membangunkan sebuah Fasiliti Pengitaran Semula Kapal dan Pelantar Hijau (GSRF) di Pelabuhan Kemaman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili, kemudahan itu, yang pertama seumpamanya di Malaysia, dibangunkan di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2026.

Katanya, GSRF akan mematuhi piawaian alam sekitar dan keselamatan antarabangsa tertinggi, termasuk keperluan ketat yang digariskan dalam Konvensyen Antarabangsa Hong Kong untuk pengitaran semula kapal yang selamat dan mesra alam.

- Advertisement -

“Konvensyen ini, yang akan berkuat kuasa pada 26 Jun 2025, memastikan kapal akan dikitar semula pada akhir hayat operasinya bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

“GSRF berpotensi untuk meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam proses kitar semula dan penyahtauliahan kapal di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, GSRF dijangka memproses antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik bahan setiap tahun, menjadikannya salah satu kemudahan kitar semula kapal yang paling cekap dan selamat di rantau ini.

“Selain itu, kemudahan itu akan menjadi pusat kitar semula komponen bukan logam yang mampan dan dioptimumkan untuk mengurangkan pelepasan CO2,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, salah satu ciri utama GSRF ialah wet berth yang dibina khusus untuk mengendalikan projek penyahtauliahan besar dan kompleks, termasuk penyahbinaan platform luar pesisir.

“Infrastruktur ini membolehkan pengendalian struktur besar dengan lebih lancar, menjadikan GSRF sebagai pilihan utama untuk pelupusan aset luar pesisir,” katanya.

Muhtar berkata, pihaknya juga mengesahkan bahawa GSRF akan berfungsi sebagai Kawasan Pelupusan Pesisir atau Kemudahan Pemulihan Penyahtauliahan (DRF) bagi platform luar pesisir yang dijadualkan untuk penyahtauliahan. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -