KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku di negeri Kedah, Johor dan Sabah.
Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, antara kawasan negeri Kedah yang terlibat ialah Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim.
Selain itu, kawasan-kawasan di negeri Johor yang terlibat ialah Tangkak, Muar dan Batu Pahat manakala di negeri Sabah pula hanya Tawau dan Semporna.
“Cuaca tersebut dijangkakan berlaku sehingga jam 11 pagi hari ini.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia menambah amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
MetMalaysia turut menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 3/9/2024