5 restoran popular bukan pemegang sijil halal – Jakim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semakan status halal bagi premis lima restoran popular telah disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah bagi skim premis makanan dan minuman.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata, pengesahan lima restoran tersebut ialah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw.

- Advertisement -

“Untuk makluman, pertanyaan itu telah diajukan melalui Borang Laman Web di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM,” ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, sebuah lagi premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best pula disahkan halal selepas pihak Jakim membuat semakan semula melalui Portal Halal Malaysia.

“Premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best telah mempunyai empat outlet yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.

“Jabatan ini sudah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September lalu jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,” kata kenyataan itu.

Tambah Jakim dalam kenyataan terkini, susulan daripada satu suratnya telah tular yang mendakwa status sijil halal jenama Ayam Penyet Best bukan pemegang sijil halal bersama lima restoran popular itu.

Oleh yang demikian, Ayam Penyet Best telah menjelaskan dapur pusat mereka yang membekalkan bahan mentah dan makanan ke semua cawangan mendapat sijil halal berkuatkuasa pada 2012. 

“Seperti yang dinyatakan di atas, kami juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal untuk cawangan-cawangan kami secara berperingkat.

“Bagi sijil halal Premis pula boleh diperoleh bawah syarikat Smart Green Trading Sdn. Bhd., berkuat kuasa pada 2021,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!