Teks ucapan MB Perlis sempena Persidangan Kemuncak SG4

- Advertisement -

Perlis Baharu

Pertamanya saya ucapkan setinggi kesyukuran kerana kita semua dapat berkumpul bersama-sama dalam Persidangan yang julung kali diadakan ini yang menghimpunkan keempat -empat negeri bagi merealisasikan hasrat bersama dalam menjalinkan kerjasama yang erat.

Perlis baharu mengambil pendekatan yang lebih matang, mesra rakyat dan inklusif. Tranformasi Perlis Baharu berorientasikan kepada kemaslahatan rakyat yang merangkumi aspek pembangunan ekonomi, kelestarian kesejahteraan rakyat, kemampanan insfrastruktur dan kemudahan serta perlindungan social yang turut menjaga Kebajikan rakyat.

Berpegang kepada sebahagian ayat 2 dalam surah Al-Maidah yang bermaksud;
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya seksa azab Allah maha berat bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.”

- Advertisement -

Sedikit sebanyak latar belakang negeri Perlis, yang merupakan negeri terkecil di Malaysia yang terletak di utara Semenanjung dengan keluasan hanya 819 km² atau 81,391.20 hektar dan jumlah penduduk hanya seramai 296,800 orang sahaja. Bersempadan dengan wilayah selatan Thailand.

Pentadbiran Negeri Perlis diterajui oleh institusi Diraja dan dibahagikan kepada 3 Parlimen iaitu, Kangar, Padang Besar dan Arau dengan pecahan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mempunyai 22 Mukim di bawah satu Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kangar. Walaupun kita berjaya memenangi 14 kerusi tetapi berkaitan Penerangan Negeri hanya menumpukan seorang ADUN pembangkang sahaja. Oleh hal demikian initiatif Kerajaan Negeri bagi menubuhkan Urus setia Penerangan Negeri Perlis bagi membantu penyebaran maklumat dan info berkaitan Kerajaan negeri.

Peningkatan ekonomi Negeri Perlis pada tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus iaitu sebanyak RM 6.3 bilion berbanding tahun sebelum sebanyak RM6.2 bilion. Dari asperk komposisi ekonomi sektor utama iaialah sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus (70.2 % ) yang memberikan nilai tambah sebanyak RM4.5 bilion. Diikuti sektor Pertanian (17.4 %) dan pembuatan (7.6%) serta diikuti sektor Pembinaan (2.5%) dan sektor perlombongan &
pengkuarian (0.5%).

Perlis di letakkan sebagai negeri pertanian kerana 65% tanah negeri adalah tanah pertanian. Walaubagaimana pun dengan kemasukan pelaburan ke Chuping Valley Industrial Area (CVIA) ini mampu meningkatkan ekonomi di negeri Perlis.

Empat Teras Negeri Perlis

Hadirin dan hadirat sidang SG4 sekalian

Berdasarkan perbincangan dengan Kerajaan Negeri, ada beberapa Pelan Strategik yang sedang dibangunkan bagi meningkatkan pencapaian negeri Perlis. Kami fokuskan kepada empat teras :

i. Teras Pertama : Merekayasa Pembangunan Ekonomi
ii. Teras Kedua : Melestarikan Kesejahteraan Rakyat Perlis
iii. Teras Ketiga : Meningkatkan kemampanan insfrastruktur dan kemudahan di Negeri Perlis.
iv. Teras Keempat : Memperkukuhkan Perlindungan Sosial dan Kebajikan Rakyat Negeri Perlis.

Teras utama 1 berpaksikan kepada strategi bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negeri menerusi pengukuhan sektor pelaburan sedia ada dan penerokaan hasil baharu selain memberi peluang kepada usahawan-usahawan negeri Perlis mengetengahkan produk melalui penajaan ke ekspo di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Selaras dengan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis, gerak langkah bagi memacu sektor pelancongan negeri yang maju dan lestari berasaskan produk pelancongan eko dan warisan budaya negeri. Sektor pelancongan ini dilihat berpotensi mewujudkan kawasan pertumbuhan baru serta memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Teras Utama 2 adalah bertunjangkan kepada konsep penambahbaikan elemen kesejahteraan dalam kehidupan seharian menerusi pemerkasaan syiar Islam, menambah baik persekitaran kesihatan serta memupuk bakat muda melalui program belia dan sukan.

Usaha bagi memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umat akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Negeri melalui usaha mengarusperdanakan program pendidikan bermula dari peringkat pendidikan sekolah rendah.

Teras Utama 3 adalah berkisarkan kepada peningkatan infrastruktur dan fasiliti awam bagi kemudahan rakyat. Penekanan dalam penyediaan infrastruktur terancang perlu dititikberatkan bagi menarik pelaburan, menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Penyediaan kemudahan infrastruktur dan kemudahan lain yang komprehensif adalah penting bagi keselesaan rakyat selain mewujudkan ekosistem pelaburan yang sihat dalam memastikan projek pembangunan dijalankan dengan lancar.

Teras utama 4 menyentuh hal ehwal kebajikan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat negeri Perlis sentiasa terbela. Program kebajikan sosial sedia ada diteruskan bagi isi rumah kurang berkemampuan. Program kebajikan produktif seperti keusahawanan dan pembiayaan mikro akan dipergiat untuk menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga yang berkelayakan.

Sidang Hadirin SG4 sekalian

Sumber Negeri Perlis

Saya juga ingin kongsikan berkaitan beberapa sumber terkini yang ada di Negeri Perlis:

A. Sumber Mineral Dolomite Perlis :

  • Dolomite merupakan sejenis mineral dan batuan yang terdiri daripada kalsium magnesium karbornat. Anggaran rizab dolomite di Perlis sebanyak 1467.8 juta TM.
  • Anggaran pengeluaran dolomite mentah sebanyak 5juta TM setahun dan nilai royalti sebanyak RM20juta setahun, bagi
    tempoh 127 tahun.
  • Industri Dolomite Perlis semasa: Pengeluaran dolomite bagi tahun 2023 sebanyak 428,446 TM dengannilai RM34.28 juta
    setahun.

B. Sektor Tenaga Solar Perlis

  • Status semasa penjanaan tenaga solar di Perlis adalah sebanyak 110MW (mega watt) dengan pecahan seperti
    berikut:
    a. Tanah Persendirian sebanyak 106.5 MW; dan
    b. Bumbung Bangunan sebanyak 3.5 MW.
  • Ladang Solar di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) sedang berjalan dan mrengambil seluas 337.33 ekar di plot solar CVIA.
  • Pembangunan ladang solar terapung di Empangan Timah Tasoh sedang berjalan proses kajian. Hasil kajian dapat membantu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membuat pertimbangan berhubung cadangan pembangunan ladang solar terapung ini.
  • Kajian ini adalah penting memandangkan Empangan Timah Tasoh merupakan satu-satunya sumber bekalan air domestik Perlis, sumber pengairan kawasan pertanian, dan tarikan pelancong serta aktiviti rekreasi air.

Penutup

Hadirin dan hadiran sekalian

Alhamdulillah. Persidangan yang julung kali diadakan ini merupakan sebuah peluang penting untuk mengukuhkan kerjasama antara empat Negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam memperkasa ekonomi, pelaburan, infrastruktur, pendidikan dan modal insan serta peluang-peluang sumber pendapatan baharu.

Saya amat yakin peluang kerjasama antara negeri di bawah Pentadbiran Perikatan Nasional ini mampu memberi nilai tambah terutamanya dalam mengukuhkan ekonomi bagi keempat-empat negeri ini. Perlis masih dikategorikan negeri yang berkurangan hasil mahsulnya. Oleh itu amatlah baik sekiranya negeri yang berkelebihan hasil mampu bersama menstabilkan ekonomi Perlis.

Walaubagaimanapun hasil dari Perlis juga walaupun tidak banyak diharapkan mampu membantu negeri-negeri lain terutamanya dalam sektor mineral Dolomite ini.

Terima kasih sekali lagi kepada jawatankuasa yang bertungkus lumus dalam menjayakan Persidangan SG4 ini.

Sekian. Wabillahitaufik wal hidayah. Assalamualaikum w.b. – HARAKAHDAILY 2/9/2024