Sektor perkhidmatan ekonomi Perlis catat nilai tambah RM4.5 bilion

- Advertisement -

BANGI: Peningkatan ekonomi negeri Perlis pada tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus, iaitu sebanyak RM6.3 bilion berbanding tahun 2022 sebanyak RM6.2 bilion.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, aspek komposisi ekonomi sektor utama ialah sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus yang memberikan nilai tambah sebanyak RM4.5 bilion.

- Advertisement -

“Ia diikuti sektor pertanian sebanyak 17.4 peratus dan pembuatan sebanyak 7.6 peratus, diikuti sektor pembinaan sebanyak 2.5 peratus dan sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.5 peratus.

“Perlis diletakkan sebagai negeri pertanian kerana 65 peratus tanah negeri adalah tanah pertanian.

“Walau bagaimanapun dengan kemasukan pelaburan ke Chuping valley Industrial Area (CVIA) ini mampu meningkatkan ekonomi di negeri Perlis,” katanya dalam Sidang Kemuncak Kesatuan Empat Negeri (SG4) di sini, hari ini.

Antara yang turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad; Panel Penasihat SG4, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, turut serta Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Setiausaha Kerajaan Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Husni Wan Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Kelantan (PKINK), Dato’ Seri Zamri Ismail.

Beliau dalam pada itu menyatakan keyakinannya bahawa peluang kerjasama antara negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional ini mampu memberi nilai tambah terutamanya dalam mengukuhkan ekonomi bagi keempat-empat negeri ini.

“Perlis masih dikategorikan negeri yang berkurangan hasil mahsulnya. Oleh itu, amat amatlah baik sekiranya negeri yang berkelebihan hasil mampu bersama menstabilkan ekonomi Perlis.

“Walau bagaimanapun, hasil dari Perlis juga walaupun tidak banyak, diharapkan mampu membantu negeri-negeri lain terutamanya dalam sektor mineral Dolomite ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -