KUALA LUMPUR: Negara dikejutkan lagi dengan sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines yang terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Kenyataan laman web FlightRadar berkata, kali ia melibatkan pesawat MH66 yang berlepas dari KLIA perjalanan ke Seoul, Korea Selatan pada jam 1150 malam.
“Pesawat Malaysia Airlines jenis Airbus A330-323 terpaksa berpatah balik dan berjaya mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi tadi,” ujar kenyataan itu.
Difahamkan, perkara tersebut dipercayai berpunca daripada masalah teknikal yang memaksa juruterbang pesawat tersebut untuk melakukan perkara sedemikian.
“Kesemua penumpang penerbangan tersebut dipercayai selamat dan tidak berlakunya sebarang kecederaan,” tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, rata-rata netizen dalam media sosial Facebook telah memberikan respons mengenai isu tersebut memandangkan sudah semakin kerap berlakunya insiden sebegitu yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines.
Seorang daripadanya, @Safuan Matt meluahkan rasa tidak selesa dengan isu tersebut memandangkan dia akan pulang ke tanah air melalui penerbangan Malaysia Airlines.
“Jangan main patah balik sangat Malaysia Airlines, seram saya dengar sebab esok nak balik Malaysia,” katanya.
Selain itu, seorang netizen @Intan Haslina pula menyatakan bahawa tidak dinafikan pesawat-pesawat yang digunakan oleh Malaysia Airlines sudah lanjut usia tetapi masih boleh digunakan dengan syarat perlu dibaiki dengan sebaik mungkin.
Sementara @Aliph Soteto menyatakan adalah lebih baik mana-mana pesawat MAS berpatah balik sekiranya berlaku masalah teknikal.
“Jika ada masalah, patah balik adalah baik (is okay)…jangan terus pergi tak balik balik…tak okay,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dalam laporan Harakahdaily meluahkan kebimbangan terhadap insiden-insiden yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik.
Menurut laporan bertarikh 30 Ogos 2024 yang lalu, PN menuntut penjelasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan krisis penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang kini semakin meruncing sehingga menjejaskan jadual penerbangan penumpang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, pihaknya juga menuntut penjelasan daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) yang merupakan sebuah entiti yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kata beliau, tuntutan itu ialah bagi menjawab dakwaan yang menyatakan kehadiran SIA Engineering Company Limited (SIAEC) daripada Singapura yang memajak hangar kapal terbang di Subang telah menyumbang kepada krisis Malaysia Airlines ini.
Sebelum itu pula Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib dalam kenyataan kepada Harakahdaily pada 26 Ogos 2024, menggesa pihak pengurusan tertinggi dan berwajib, terutamanya Kementerian Pengangkutan supaya segera mengambil tindakan langkah-langkah proaktif untuk menyiasat punca masalah teknikal pesawat Malaysia Airlines.
Beliau menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai kekerapan insiden pendaratan cemas dan masalah teknikal yang berlaku melibatkan pesawat Malaysia Airlines sejak kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 2/9/2024