Pentingnya SG4 laksana kuasa tawar-menawar kolektif

- Advertisement -

BANGI: Pentingnya empat kerajaan negeri (SG4) untuk bersikap progresif dan pragmatik dalam pelaksanaan kuasa tawar-menawar kolektif bagi memelihara kepentingan negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  sudah setahun SG4 digagaskan sejak ia mula ditubuhkan pada 2 September 2023 yang lalu.

“Tujuannya ialah untuk kerjasama antara kerajaan negeri-negeri, merentasi berbagai kluster yang berkait rapat, dengan kesejahteraan hidup di negeri kita semua,” katanya ketika Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di sini hari ini.

Menurut beliau, SG4 juga merupakan satu koridor kerjasama dalam pelbagai bidang bagi mengangkat kedudukan negeri dan rakyatnya supaya dapat bergerak dengan lebih pantas dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Tambah beliau, kerjasama tersebut adalah sama dengan asas kewujudan koridor-koridor atau blok yang lain sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa dengan objektif tersendiri.

“Sebagai contoh, di peringkat antarabangsa yang kita selalu dengar ialah blok kerjasama seperti kewujudan Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), BRICS, ASEAN, Trans-Pacific Partnership (TPP), D-8 Organization for Economic Cooperation dan sebagainya.

“Berjaya atau gagalnya kerjasama yang dirangka menerusi SG4 ini, adalah dipikul oleh kita semua. Sudah tentu perkara yang baharu seperti ini, tentunya janggal dan kekok pada mulanya kepada kita.

“Termasuklah juga satu benda baharu kepada semua anggota pentadbiran pegawai-pegawai kerajaan untuk menentukan kaedah terbaik dalam rangka kerja bagi melaksanakannya.

“Maka, untuk berdepan keadaan ini kita mestilah sentiasa bersikap positif dan pro-aktif dan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya, kita saling berlapang dada, dengan semangat bantu membantu, insya-Allah kita mampu mengatasi kejanggalan ini,” ujarnya.

Samsuri juga menyeru SG4 memainkan peranan dalam memberikan kerjasama dan penglibatan penuh ke arah menjayakan Agenda Nasional terutamanya yang mendatangkan manfaat kepada negeri-negeri di Koridor Utara-Timur Semenanjung Malaysia. 

“Sebagai contoh, menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) SG4 agar dapat bertumbuh sebanyak antara 3.7 peratus hingga 5.9 peratus setahun kepada RM149 bilion.

“Iaitu 15.7 peratus sumbangan kepada KDNK negara berbanding hanya RM124 bilion dengan sumbangan kepada KDNK negara sebanyak 7.9 peratus pada tahun lalu.

“Kedua ialah meletakkan sasaran nilai pelaburan SG4 sekurang-kurangnya RM100 bilion dengan jumlah 50,000 pekerjaan dalam masa lima tahun ini dan lain-lain sasaran yang akan diperincikan dalam bengkel nanti.

“Maka, kedua-dua peranan ‘collective bargaining power’ dan ‘nation-building partnership’ ini adalah sangat penting bagi menjamin agar nanti, SG4 boleh mencipta penanda aras baharu yang lebih signifikan, dan realistik,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024