KUALA LUMPUR: “Merdekakah bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan?
Itu persoalan pokok yang diutarakan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tatkala mengaitkan status Bahasa Melayu dengan Hari Kemerdekaan yang disambut pada Sabtu (31 Ogos) lalu.
Menurutnya, kini kemerdekaan negara sudah pun mencecah tahun ke-67, lebih separuh abad.
“Sepatutnya dengan usia yang mendewasakan kita sebagai sebuah warga, kedudukan dan peranan Bahasa Melayu haruslah diangkat dan dimartabatkan dengan lebih tinggi.
“Malangnya masih ada sebahagian besar masyarakat kita khususnya dari kalangan pertubuhan yang mengemudi sekolah-sekolah vernakular ini yang merasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah seliaan mereka tidak sesuai mengikuti silibus dan neraca pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambah Fahysal, melihat sifat kebudak-budakkan ini, beliau teringat bagaimana mendiang mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menguruskan kedegilan kumpulan ini di Singapura.
“Hanya ada satu cara – kuasa.
“Soalnya kenapa kita masih gagal buat sedemikian malah menjadi semakin parah kini?
“Puncanya tiada lain kerana kuasa yang ada itu adalah kuasa yang lemah, yang mana Sang Pemimpin perlu mengemis untuk kekal berkuasa” tegasnya.
Bahasa Melayu, ujar Fahysal, hanya mampu kekal selamat dan utuh berdaulat bila Bangsa Melayu itu berkuasa dan tidak diperlekehkan dalam mempertahan dan melaksanakan dasar Budaya dan Bahasanya.
“Malangnya Bangsa Melayu kini sedang berpecah kerana pemimpinnya yang tidak kenal yang mana satu musuh, yang mana satu kawan; yang mana satu kaca dan yang mana satu intan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024