Konvoi Merdeka semarak patriotik di DUN Guar Sanji

- Advertisement -

ARAU: Dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme, Muslimat dan Wanita Perpaduan Ummah dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil DUN Guar Sanji menganjurkan Konvoi Merdeka pada 31 Ogos kelmarin.

- Advertisement -

Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih daripada 120 peserta, terutamanya daripada kalangan muslimat dan wanita di kawasan DUN Guar Sanji.

Konvoi berlangsung dengan penuh semangat ini bertujuan untuk memperingati serta menyuburkan rasa cinta terhadap tanah air yang telah bebas dan aman selama 67 tahun sejak mencapai kemerdekaan.

ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim berkata, sambutan dengan konvoi motor ini adalah salah satu cara untuk menyuntik rasa patriotisme dalam kalangan masyarakat, terutama sekali kepada kaum hawa.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program ini, terutamanya kepimpinan muslimat dan wanita DUN Guar Sanji atas komitmen yang tinggi,” ujarnya.

Acara ini tidak hanya menonjolkan kecintaan kepada negara, tetapi juga memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di DUN Guar Sanji. – HARAKAHDAILY 2/9/2024