BANGI: Sidang Kemuncak SG4 merupakan platform yang penting bagi negeri-negeri yang terlibat, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam usaha membangunkan negeri masing-masing.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, segala input yang terhasil melalui amanat dan perbincangan yang diadakan pada kali ini akan menjadi sesuatu yang cukup bermakna.
“Insya-Allah, ia mampu membawa kejayaan yang lebih besar dan mampan sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan negeri-negeri SG4 di persada nasional,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak SG4 yang berlangsung di sini, hari ini.
Tambah beliau, tercetusnya istilah Membangun Bersama Islam apabila Allah SWT mengurniakan tamkin iaitu suatu kekuasaan untuk mentadbir negeri Kelantan setelah mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum tahun 1990.
“Hampir 34 tahun, Kelantan melalui pelbagai ujian dan mehnah sepanjang mengemudi amanah rakyat yang memilih Islam sebagai dasar pentadbiran.
“Alhamdulillah, semuanya itu Allah SWT permudahkan untuk kami dalam menguruskan negeri dengan kemampuan yang sedia ada.
“Berkat meletakkan Islam di hadapan, kami mampu bertahan sehingga ke hari ini dan apa yang paling penting adalah sikap integriti para pimpinan kita adalah suatu yang boleh dibanggakan kerana tidak pernah ada yang disabitkan jenayah rasuah bermula dari Menteri Besar sehingga kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Ustaz Mohd Nassuruddin turut berkata, pencapaian itu merupakan kebanggaan kepada perjuangan Islam yang diberi kuasa mentadbir.
Dengan demikian, mereka mampu mempersembah tadbir urus yang cemerlang ditambah pula mempelopori pelbagai perubahan dan transformasi dalam dasar, polisi dan inisiatif dalam berkerajaan sehingga menjadi ikutan dan rujukan oleh pelbagai pihak.
Justeru, katanya lagi Kelantan terus melangkah ke hadapan iaitu menuju Kelantan Sejahtera 2033 dengan menggariskan 3 gagasan:
“Pertama adalah pengukuhan kepimpinan ulama, kedua adalah pemerkasaan ekonomi dan ketiga pula adalah memperkukuh budaya kerjasama dan kebersamaan
“Melalui gagasan pengukuhan kepimpinan ulama, Kelantan tidak menoleh ke belakang lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024