ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah mengalu-alukan Zhuhai CosMX Battery Co Ltd untuk membangunkan kilangnya di Kulim.
Kerajaan Negeri Kedah katanya, menawarkan Taman Perindustrian Timur Kulim yang terdapat banyak potensi untuk menjadi hab baharu bagi pengeluaran simpanan tenaga di bahagian utara Malaysia.
Zhuhai CosMX Battery Co Ltd, pengeluar global bateri litium-ion pengguna dan bateri litium-ion berkuasa mengumumkan rancangan untuk membina kilang pembuatan pertamanya di Kedah.
Kemudahan baharu di bawah Unimx Technology Malaysia Sdn Bhd itu akan dilaksanakan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian Timur Kulim, dengan majlis pecah tanah dijangka bermula pada suku terakhir 2024 dengan pelaburan besar RM1 billion.
“Pelaburan ini adalah bukti potensi ekonomi negeri dan keyakinan terhadap iklim pelaburan kita. Kami berharap pelaburan ini akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi.
“(Juga) pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran yang akan memberi manfaat kepada tenaga kerja dan masyarakat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, projek berkenaan bakal mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan dan meningkatkan tenaga kerja mahir dan keupayaan teknologi negara.
“Merevolusikan teknologi bateri bukanlah tugas yang mudah, tetapi MIDA berbangga untuk menyokong dan memudahkan Zhuhai CosMX dalam perjalanan yang bercita-cita tinggi ini.
“Kepakaran canggih mereka akan memberi kesan riak yang besar pada ekosistem tempatan kita,” katanya.
Jumlah pelaburan yang begitu tinggi itu disifatkan satu kejayaan penting dalam strategi pengembangan global syarikat tersebut ke arah meningkatkan keupayaan pembuatannya.
Juga sebagai keupayaan Zhuhai CosMX untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen bateri litium-ion di seluruh dunia.
Zhuhai CosMX juga menyatakan sentiasa berpegang kepada konsep pembangunan hijau, komited untuk mengurangkan kesan alam sekitar melalui inovasi teknologi dan peningkatan industri.
Syarikat itu sedia menjadikan Kedah sebagai projek model yang bukan sahaja untuk mencapai kejayaan dari segi ekonomi tetapi juga menetapkan penanda aras dalam mempromosikan pembangunan mampan. – HARAKAHDAILY 1/9/2024