Merdeka: Rakyat Malaysia rasai keperitan Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 diraikan sebahagian rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Palestin kerana negara ini pernah melalui pengalaman serupa sepertimana bumi anbiya’ itu.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan demikian dalam mengulas pemandangan yang kelihatan di seluruh negara memasang Jalur Gemilang bersama bendera tersebut.

- Advertisement -

“Mungkin ada yang bertanya, kenapa rakyat Malaysia begitu dekat dengan isu Palestin? Sehinggakan sambutan hari kemerdekaan pun Jalur Gemilang dikibar seiring dengan bendera Palestin.

“Sebabnya kerana negara ini pernah mengecapi keperitan penjajahan. Hak dirampas, maruah agama dan bangsa dihina. Kami merasai keperitan rakyat Palestin yang dirampas hak serta dinodai maruah mereka oleh Zionis.

“Zionis Israel adalah ‘anak’ penjajah Barat sama yang pernah menjajah negara kita. Negara kita telah mengecapi kemerdekaan, kita yakin bumi Palestin juga akan dimerdekakan satu hari nanti, insya-Allah,” ujarnya optimis.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memberi ulasan demikian sebagai memuji solidariti dan rasa persaudaraan ditunjukkan rakyat negara ini yang dilihat semakin erat dengan isu Palestin. – HARAKAHDAILY 1/9/2024