WALAUPUN asalnya suatu ilmu itu adalah ilmu yang betul, tetapi ia boleh menyebabkan manusia menjadi jahat.
Apatah lagi kalau memang ilmu itu adalah ilmu yang tidak betul. Contohnya, ilmu kebal yang dituntut dengan cara yang salah mengikut agama.
Ia boleh menyebabkan orang menjadi jahat. Sebab tidak tembus tikaman. Kalau merompak pun, tuan rumah tidak dapat berbuat apa-apa. Jadi, ia boleh mendorong kepada perbuatan jahat.
Ilmu sihir boleh memecahbelahkan rumahtangga. Ada orang yang dengki dengan kehidupan suami isteri yang aman. Akhirnya, berbalah tanpa sebab yang kukuh. Suami tidak mahu memandang isterinya. Isteri pula berasa serabut dengan suaminya. Ada pelbagai lagi masalah lain yang berkaitan dengan sihir.
Contohnya, alat kemaluan lelaki berada di atas dahi, alat kemaluan tiada sehingga tidak dapat membuang air kecil, gulai majlis kahwin tidak masak dan pengantin lelaki tidak dapat menjawab akad nikah dengan baik kerana bacaan jampi yang dibaca dan katak yang diletakkan di bawah tempurung di bawah rumah.
Nak kata, sihir ini wujud. Dalam pengajian Usuluddin, ada banyak perkara yang mencarikkan adat atau dalam istilahnya ialah Khawariqul Adah. Maksudnya di luar pemikiran.
Yang pertamanya ialah mukjizat yang diberikan kepada nabi dan rasul. Contohnya, Nabi Soleh mampu mengeluarkan unta daripada batu. Besar tidak besar unta tersebut, apabila ia minum air daripada telaga, kering.
Sehingga kecoh satu kampung sebab telaga itu sahaja punca air mereka. Akhirnya, Nabi Soleh meletakkan syarat. Unta boleh minum air daripada telaga itu selang sehari.
Contoh lain, Nabi Ibrahim yang dibuang ke dalam api tidak hangus terbakar. Inilah perkara yang mencarikkan adat. Sebab kebiasaannya kalau dibuang ke dalam api, sudah hangus terbakar.
Dalam kitab menyebut, Nabi Ibrahim berada di dalam api selama seminggu. Nak kata, inilah mukjizat yang berlaku kepada nabi-nabi.
Yang keduanya ialah keramat yang berlaku kepada orang-orang soleh. Contohnya, Rabiatul Adawiyah boleh berjalan di atas air, ada yang tidak dibasahi oleh air hujan, Junaid al-Baghdadi boleh terbang di udara, ada yang dijumpai berada di kampung dan Makkah pada hari yang sama serta boleh pergi ke suatu tempat yang jauh jarak perjalanannya dan balik semula dalam hari yang sama.
Inilah kemuliaan yang Allah beri kepada hamba-Nya yang dekat dengan-Nya, bersih hatinya dan elok ibadahnya.
Yang ketiganya ialah Al-Ma’unah yang berlaku kepada orang biasa. Al-Ma’unah bermaksud pertolongan Allah.
Contohnya, tuan kereta selamat dan hanya cedera ringan walaupun kereta sudah hancur setelah terlibat dalam kemalangan, tiada mudarat walaupun jatuh dari tempat yang tinggi atau dapat keluar dengan selamat walaupun rumah hangus dalam kebakaran.
Ia tidak kerap berlaku dan bukan semua orang menghadapinya. Hal ini berlaku kepada orang yang beriman dan ‘juruh’.
Hal ini juga boleh berlaku kepada orang yang tidak beriman. Antaranya ialah sihir. Contohnya, tali boleh bertukar menjadi ular, alat kemaluan lelaki berada di atas dahi dan tidak boleh bercakap seperti mulut dijahit.
Ini adalah perkara-perkara yang pelik. Ini perkara yang mencarikkan adat namun tidak betul kerana menggunakan syaitan. – HARAKAHDAILY 1/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.