KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Ustaz Mohd Razali Saari telah membuat laporan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan Raja (3R) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam, hari ini.
Laporan ke atas hantaran Facebook Jamzuri Ardani itu mengandungi kenyataan yang dipercayai menghina institusi agama, khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan dengan isi kandungan khutbah Jumaat, 30 Ogos lalu.
Jamzuri dalam hantaran itu mempersoalkan kesesuaian khutbah dengan dakwaan bahawa ia terlalu eksklusif dan tidak relevan dengan semangat Hari Kebangsaan yang disambut rakyat pelbagai bangsa dan agama.
“Individu tersebut merasa bahawa kenyataan ini boleh dianggap sebagai menghina dan merendahkan martabat institusi agama serta majlis agama Islam yang terlibat dalam penyediaan teks khutbah tersebut.
“Laporan ini dibuat dengan tujuan agar pihak berkuasa dapat menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut atas kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan dengan isu 3R.
“Difahamkan juga bahawa hantaran tersebut telah dipadam atau disembunyikan oleh pemilik akaun, namun ia tidak mengurangkan keseriusan isu yang dibangkitkan,” ujar Ustaz Razali.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Besar itu menekankan bahawa institusi agama di Malaysia, termasuk Jabatan Agama Islam, berada di bawah naungan dan lindungan Majlis Raja-Raja.
Tegasnya, sebarang tindakan atau kenyataan yang dianggap menghina atau merendahkan martabat institusi agama bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung agama Islam di negara ini.
“Oleh itu, tindakan menghina institusi agama ini harus dipandang serius dan tidak boleh dibiarkan. Tambahan pula, setiap teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“(Ia) sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan isu-isu berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini,” ujar beliau dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Tambahnya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah menegaskan bahawa setiap teks khutbah disemak dan dibincangkan melalui Jawatankuasa Panel Khutbah, memastikan ia sesuai dan tepat untuk disampaikan kepada jemaah.
“Adalah penting untuk kita mengingatkan umat Islam tentang perkara-perkara penting yang mungkin dilupakan, dan ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang negatif,” ujar Abdul Aziz dipetik dari sebuah media pada 21 Februari lalu.
Oleh itu Ustaz Razali menyeru agar semua pihak menghormati sensitiviti agama dan mengelakkan daripada membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan atau salah faham di kalangan rakyat.
“Institusi agama harus dihormati dan segala isu berkaitan hendaklah ditangani melalui saluran yang betul dan berhemah.
“Kita berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu yang didapati bersalah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2024