KHTP pilihan pelabur, sedia prasarana bertaraf dunia

- Advertisement -

PADANG SERAI: Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik kerjasama Kerajaan Persekutuan menjadikan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebagai contoh dalam membangunkan usaha peralihan tenaga bersih.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama itu membantu mengukuhkan lagi hasrat melaksanakan ‘The Greater Kedah’ dengan memanfaat seluruh potensi serta sumber yang ada.

“Melalui ‘Blue Print’ (Pelan Tindakan) The Greater Kedah, negeri ini akan terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelaburan utama, selain didorong oleh ekosistem yang progresif dan mampan.

“Malah melalui kerjasama ini akan mengukuhkan lagi pengurusan KHTP, NUR Power serta agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA),” katanya.

Beliau memberi ucapan pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW NUR Power di Kulim, di sini kelmarin.

Dalam pada itu kata beliau lagi, komitmen kerajaan negeri untuk menarik pelabur dari dalam dan luar negara bukan sahaja mengukuhkan ekonomi, malah membuka peluang pekerjaan lebih baik kepada generasi muda.

“Berdasar laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Julai 2024, Kedah mencatatkan peningkatan ekonomi kepada 1.6 peratus pada 2023 dengan nilai ditambah sebanyak RM51.8 billion berbanding RM51 billion pada 2022.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh sektor perkhidmatan sebanyak 56.2 peratus, sekaligus meningkatkan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini meningkat ke 4.0 peratus, dengan nilai tambah RM29.1 billion berbanding RM28 billion pada 2022,” jelas beliau lagi.

Ujarnya lagi, walaupun tertakluk kepada prosedur dan peraturan, namun kerajaan negeri mengamalkan konsep mesra pelabur bagi memudahkan urusan, sekali gus menjimat masa dan kos pelabur di samping mematuhi semua peraturan ditetapkan.

Justeru tambah beliau, melalui projek tenaga solar utiliti yang dilaksanakan di KHTP dengan kerjasama UEM Lestra ini, secara tidak langsung akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk pelabur melabur di kawasan berkenaan.

“Usaha ini juga akan mewujudkan hab yang canggih dan inovatif serta mampu menarik lebih ramai pelabur dan memupuk pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti kehidupan,” jelas beliau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata, usaha itu seiring hasrat kerajaan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

Jelasnya, ia dalam meningkatkan kualiti udara negara selain sejajar hasrat yang terkandung di dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata, banyak negara kini memberi tumpuan kepada keselamatan tenaga dengan mengutamakan jaminan pembekalan.

Iaitu katanya, dalam melaksanakan peralihan lebih pantas dan inklusif untuk masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan saksama.

Oleh itu tegas beliau, hala tuju NIMP 2030 dan NETR untuk masa hadapan akan berpaksikan kepada peralihan tenaga seimbang yang perlu diuruskan secara berkesan semua pihak terutama industri.

“Peralihan tenaga akan menjadi paksi utama dalam pelbagai sektor termasuklah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan menggalakkan tenaga bersih, inovasi, dan kecekapan tenaga.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan peralihan kepada tenaga bersih mampu memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan turbin gas kitaran terbuka NUR Power akan menjana kuasa sehingga 90 Megawat (MW), iaitu tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada iaitu sebanyak 220MW bagi memenuhi permintaan di KHTP yang semakin meningkat.

Dengan wujudnya stesen jana kuasa yang baharu itu, beliau yakin KHTP akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana bertaraf dunia, cekap tenaga dengan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini. – HARAKAHDAILY 1/9/2024