Anggota pasukan polis Israel maut di Tebing Barat

Pertempuran sengit antara pejuang penentangan Islam Palestin dan tentera Israel di Hebron, Tebing Barat. (FOTO: Wafa)
- Advertisement -

TEBING BARAT: Sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Israel terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di pusat pemeriksaan di Hebron oleh pejuang penentangan Islam Palestin, ketika Israel membawa bala bantuan di bandar Jenin yang diduduki di Tebing Barat sebagai sebahagian daripada serbuan mautnya yang berterusan.

Serangan tembakan itu berlaku ketika tentera Israel meneruskan serangan maut ke atas Jenin untuk hari kelima berturut-turut membunuh sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin.

- Advertisement -

Terdahulu, Israel telah membunuh lebih 500 orang ketika ia mempergiatkan operasi di Tebing Barat sejak melancarkan perang ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023, menyaksikan kira-kira 410,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh 11 bulan lalu.

Perkhidmatan kecemasan negara haram Israel, Magen David Adom berkata pada hari ini, Ahad (1 Sept) bahawa seorang lelaki dan seorang wanita terbunuh dan mangsa ketiga, lelaki  berusia 50-an dipindahkan ke hospital dalam keadaan kritikal berikutan serangan berhampiran pusat pemeriksaan Tarqumiyah, selatan Hebron.

Kenyataan tentera Israel pula berkata, ia sedang melakukan serbuan ke atas perkampungan Palestin Idhna berhampiran tempat kejadian tembakan berkenaan.

Akhbar Maariv melaporkan bahawa tiga mangsa terbabit adalah anggota polis yang bekerja di stesen Hebron yang ditembak dari kereta Palestin yang dipandu lalu.

Sementara Al Jazeera pula melaporkan, serangan tentera Israel setakat ini tertumpu di sekitar utara Tebing Barat dan di kawasan Lembah Jordan.

Akram Natsheh, seorang wartawan di Hebron, memberitahu Al Jazeera bahawa tentera Israel telah menutup semua jalan masuk dan keluar dari bandar selatan manakala dron telah berlegar di atasnya.

“Tiada apa-apa selain ketegangan dan kebimbangan kerana tentera Israel masuk dan sekitar seluruh kawasan – keadaan mungkin akan meningkat,” katanya.

Sementara menurut agensi berita Palestin Wafa, enam orang, termasuk tiga wanita, telah ditangkap di kawasan Hebron manakala serbuan telah berlaku di Yatta dan Halhul berhampiran.

Bandar Hebron didiami oleh 166,000 penduduk Palestin dan seramai 700 penduduk haram Israel -Agensi/– HARAKAHDAILY 1/9/2024

- Advertisement -