Perutusan Menteri Besar Kelantan sempena Hari Kebangsaan ke-67

- Advertisement -

FIRMAN Allah SWT:

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ مَن جَاءَ بِالْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ‎﴿٨٥﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah yang mewajibkan engkau (wahai Muhammad) untuk (melaksanakan hukum-hukum) Al-Quran, benar-benar akan mengembalikanmu ke tempat kembali (Mekah). Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku mengetahui orang yang membawa petunjuk dan orang yang berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Qasas: 85)

- Advertisement -

Mencintai negara adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang dituntut dalam Islam. Menurut Imam Fakhruddin Al-Razi dalam tafsirnya Mafatih Al-Ghaib, menjelaskan bahawa kalimah مَعَادٍ yang disebut dalam ayat di atas merujuk kepada Makkah Al-Mukarramah.

Begitu juga menurut tafsiran Syeikh Ismail Haqqi Al-Hanafi Al-Khalwathi dalam tafsirnya Ruhul Bayan menyatakan:

وفي تَفسيرِ الآيةِ إشَارَةٌ إلَى أنَّ حُبَّ الوَطَنِ مِنَ الإيمان، وكَانَ رَسُولُ الله يَقُولُ كَثِيرًا: اَلْوَطَنَ الوَطَنَ، فَحَقَّقَ اللهُ سبحانه سُؤْلَهُ

Maksudnya: “Di dalam tafsiran ayat (Al-Qashash:85) terdapat suatu petunjuk bahawa cintakan negara adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah SAW (dalam perjalanan hijrahnya menuju Madinah) banyak sekali menyebut: negara, negara, kemudian Allah SWT memberi perkenan (dengan kembali ke Makkah membukanya).”

Oleh yang demikiran, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Kelantan dan amnya, seluruh rakyat Malaysia agar meletakkan kecintaan kepada negara kita yang bebas merdeka ini. Di bahu kita, terpikul tanggungjawab untuk memastikan negeri dan negara ini senantiasa dalam keadaan baik dan sejahtera.

Hargailah kemerdekaan negara dengan menghayati erti kemerdekaan yang hakiki melalui kisah sahabat Nabi SAW iaitu Rib’i ibn ‘Amir al-Tamimi RA, salah seorang utusan dalam peperangan Qadisiyah pimpinan Sa’ad Bin Abi Waqas RA. Ketika berunding dengan tentera Parsi pimpinan Rustum, Rib’i ibn ‘Amir menjawab pertanyaan Rustum dengan suatu penegasan:

اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Inilah suatu penegasan bahawa menghargai kemerdekaan negara adalah suatu tanggungjawab yang perlu ditadbir oleh kita semua dalam mencari redha Allah SWT. Melalui negara merdeka kita tidak terbelenggu dengan cengkaman kuasa penjajahan, malah kita hendaklah mentadbir dengan baik mengikut neraca keadilan Islam.

Dalam menyokong urus tadbir rakyat dalam negara dan negeri merdeka, saya seru semua rakyat agar:

Pertama: Bersatu hati dalam membina muafakat umat dan kerukunan dalam masyarakat majmuk dalam negeri dan negara kita.

Kedua: Menyemarakkan semangat cintakan negara atau juga disebut semangat patriotik dalam diri kita, ahli keluarga terutama anak-anak muda.

Ketiga: Menanamkan rasa tanggungjawab terhadap negara dengan menolak anasir-anasir yang merosakkan masyarakat.

Tema sambutan Hari Kebangsaan kita pada tahun ini bagi negeri Kelantan, ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka: Penghayatan Membangun Bersama Islam’, mencerminkan keinginan kita untuk membentuk sebuah masyarakat yang bukan hanya bebas secara fizikal tetapi juga merdeka jiwa dan pemikiran.

Kemerdekaan yang sebenar adalah apabila kita mencapai ketamadunan yang berlandaskan ajaran Islam. Jiwa merdeka adalah jiwa yang teguh dengan nilai-nilai Islam, yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, serta menjauhi segala bentuk pengaruh, yang bertentangan dengan syariat.

Di kesempatan yang amat bermakna ini, bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-67 buat seluruh rakyat negeri Kelantan tidak kira di mana sahaja berada.

Marilah kita bersama-sama menjaga kemerdekaan ini dengan penuh tanggungjawab dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani di mata dunia.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

“Penghayatan Membangun Bersama Islam”

DATO’ PANGLIMA PERANG
USTAZ DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 31/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!