JOHOR BAHRU: Semua pihak digesa untuk menjadikan kehidupan beragama sebagai landasan sempena ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-67 agar kesejahteraan dan keberkatan hidup akan dapat dicapai dengan izin Allah SWT .
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, tatakelola yang beramanah juga akan menambahkan kemakmuran dan keberkatan rezeki, sekali gus memperkasa pencapaian negara bangsa.
“Allah SWT memerintahkan hamba-Nya iaitu manusia agar menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Islam agama yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan untuk mengatur kehidupan manusia di bumi.
“Manusia sebagai khalifah Allah SWT di bumi seharusnya memahami kehendak Allah SWT dan menerima hakikat keberadaan manusia di bumi Allah SWT,” katanya.
Beliau turut memetik surah Al-Baqarah ayat 208 yang mafhumnya ‘Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu’.
“Syariat Allah SWT yang terkandung di dalam Al-Qur’an meliputi segala lapangan kehidupan manusia sama ada hubungan manusia dengan Tuhannya atau hubungan manusia sesama manusia.
“Ianya termasuklah perkara akidah yang menjadi teras kepada agama, ibadah yang menjadi bukti keimanan juga akhlak yang mengatur tatacara kehidupan manusia keseluruhannya,” katanya.
Jelas beliau, ketiga-tiga elemen akidah, ibadah dan akhlak itu telah pun digariskan prinsipnya di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah di mana perundangan Islam bertujuan mendidik dan membina peradaban manusia agar ianya berbeza dengan makhluk lain.
“Apabila peradaban manusia terdidik, maka kehidupan manusia akan harmoni dan damai,” katanya dalam satu kenyataan yang muat naik di laman Facebook PAS Negeri Johor sebentar tadi.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat menambah, kedamaian akan membawa kehidupan yang tenang yang akhirnya boleh memacu kemajuan negara.
“Generasi beragama adalah pemangkin kemajuan bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 31/8/2024