AKHIRNYA pejuang Hizbullah melancarkan serangan balas yang ditunggu-tunggukan sebagai respon ke atas pembunuhan komandernya, Fuad Syukr di tangan rejim Zionis Israel, bulan lalu.
Dilaporkan tentera Hizbullah telah melancarkan tidak kurang daripada 300 buah roket dan dron ke atas fasiliti utama agensi perisikan dan ketenteraan rejim Zionis Israel.
Serangan tersebut telah menggemparkan komuniti dunia khususnya Barat sehingga menggesa agar dihentikan serangan bagi mengelak konflik yang lebih besar melanda Timur Tengah.
Beberapa jam selepas serangan tersebut, Sayyed Hassan Nasrallah memberikan ucapan secara langsung dengan memberi amaran bahawa serangan ini hanyalah pusingan pertama yang akan disusuli serangan berikutnya yang tiada penghujung selagi konflik Gaza berterusan dan Zionis Israel tidak menghentikan keganasan.
Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin utama Mihwar al-Muqawamah (Axis of Resistant) dari Iran, Syria, Iraq dan Yaman mengeluarkan kenyataan menyokong serangan tersebut serta menegaskan bahawa Zionis Israel sudah hilang kekuatannya dan tidak digeruni lagi.
Bahkan jurucakap kumpulan Ansarullah (Houthi) menyatakan bahawa tidak lama lagi, pejuang Houthi akan turut menyerang negara haram Israel.
Presiden Syria, Basyar Al-Assad dalam ucapannya di Parlimen Syria pada Ahad lalu, menegaskan bahawa Syria akan terus menyokong Iran, Yaman, Hizbullah, Hamas dan kumpulan pejuang Palestin dalam perjuangan menentang Zionis Israel serta memerdekakan bumi Palestin.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga mengeluarkan kenyataan bahawa Iran tidak akan berganjak dari keputusannya untuk bertindak balas terhadap negara haram Israel berikutan pembunuhan As-syahid Ismail Haniyeh di Tehran, akhir bulan lepas.
Sebagai respon, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Llyod Austin mengarahkan dua kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dan USS Theodore Roosevelt serta kumpulan kapal perang yang mengiringinya untuk terus kekal berada di Timur Tengah bagi membantu mempertahankan negara haram Israel.
Saat ini sepertiga daripada armada tentera laut Amerika Syarikat berada di Timur Tengah, yang terbesar dalam sejarah sejak Perang Dunia Kedua.
Daripada sorotan di atas, jelas ketika ini “gendang perang” semakin kuat berkumandang di Timur Tengah dan peperangan terbuka antara Zionis Israel dengan “Axis of Resistance” yang dipelopori oleh Iran tidak mampu dielakkan lagi, hanya tunggu masa sahaja.
Apakah senario yang bakal berlaku selepas ini ?
Masing-masing menunggu siapakah yang akan memulakan gelanggang peperangan secara besar besaran.
Zionis Israel berada dalam keadaan tertekan sehingga melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi mengheret Iran ke kancah peperangan supaya menjadi alasan kepada sekutu Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat menyerang Iran sekali gus melakukan ‘regime change’.
Iran menyedari permainan ini justeru bertindak dengan penuh berhemah dan waspada. Pendekatan yang diambil oleh Iran masih lagi meletakkan kumpulan proksinya di saf hadapan.
Akidah peperangan Iran ialah tidak akan menyerang negara lain, dalam konteks ini negara haram Israel selagi mana negara haram ini menyerangnya terlebih dahulu.
Hakikat ini boleh difahami apabila Rusia dan China mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-kedua negara tersebut menyokong Iran dalam mempertahankan kedaulatan dan wilayahnya daripada pencerobohan kuasa asing.
Nampak gayanya Rusia dan China sudah menjangka dan menghidu niat jahat Barat khususnya Amerika Syarikat terhadap Iran.
Jika Rusia dan China membantu Iran, ia akan mengubah skop peperangan yang sedang berlaku dan bakal mengheret kepada perang yang lebih besar yang mampu membawa kepada perang dunia ketiga.
Sudah tentunya perang proksi Barat di Ukraine dengan Rusia dan ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berkaitan isu Taiwan akan meletus menjadi lebih besar serta mampu mengancam keselamatan dunia.
Sama-samalah kita doakan agar Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin bebas dan merdeka dari cengkaman penjajahan rejim Zionis Israel tidak lama lagi .
Insya-Allah dengan tidak putusnya doa dan bantuan daripada kita semua berserta dengan kuatnya semangat juang rakyat Palestin, pastinya Allah SWT dengan rahmatnya akan memberi kemenangan kepada umat Islam. – HARAKAHDAILY 30/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.