KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru para peniaga supaya sentiasa bersikap jujur.
Ini, katanya agar rezeki yang diterima berkat di sisi Allah.
“Para peniaga perlu sentiasa bersikap jujur dalam perniagaan agar rezeki yang kita terima ini berkat di sisi Allah SWT,” ujarnya kepada para peniaga yang hadir ke Majlis Solat Hajat Perdana Sempena Pembukaan Pasar Payang 1, malam tadi.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim. Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan dengan kerjasama pengurusan Surau Dato’ Amar Pasar Payang.
Menerusi catatan di laman Facebook, beliau berkata para peniaga di pasar itu juga merupakan duta kepada negeri.
“Secara tidak langsung, para peniaga di Pasar Payang ini merupakan duta kepada negeri Terengganu dalam segmen perniagaan. Sentiasalah jaga kebersihan dan melayani pelanggan sebaiknya.
“Insya-Allah, semoga semuanya selamat dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.
Wan Sukairi pada catatan terdahulu memaklumkan kerajaan negeri sentiasa memikirkan yang terbaik buat para peniaga di Pasar Payang.
Namun, ujarnya tidaklah semua keputusan yang dibuat akan mampu memuaskan hati setiap pihak kerana pelbagai sudut dan pertimbangan perlu dilakukan.
Beliau menyatakan demikian susulan dikunjungi oleh para peniaga Pasar Payang.
“Dalam pertemuan ini, mereka bertanya kepada saya mengenai beberapa persoalan yang menjadi kerisauan mereka.
“Alhamdulillah, semuanya telah dimurnikan dengan sebaiknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!