Pasar Payang bukan hanya lakar nama di peta negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Kini, Pasar Payang bukan hanya melakar nama di peta negara, bahkan di peta seluruh dunia,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Justeru, ujarnya peniaga perlu menyedari bahawa persaingan dalam dunia perniagaan hari ini amatlah hebat.

Beliau menyatakan demikian menerusi catatan di laman sosialnya susulan menghadiri Solat Hajat Perdana Sempena Pembukaan Pasar Payang 1, malam tadi.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, malam tadi saya menghadiri Solat Hajat Perdana Sempena Pembukaan Pasar Payang 1, anjuran Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan dengan kerjasama pengurusan Surau Dato’ Amar Pasar Payang,” katanya.

Solat hajat dan bacaan Yasin itu telah dipimpin oleh Sheikh Dr. Mohamed Abdel Hamid Kulaib Al Azhari.

Turut sama hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.

“Alhamdulillah kini sudah kira-kira sebulan Pasar Payang 1 beroperasi,” ujarnya lagi.

Menurutnya, minggu lepas sudah mula operasi penuh untuk fasa pertama pembukaan berfasa Pasar Payang itu.

Katanya, untuk fasa pertama, antara kedai yang telah beroperasi ialah kedai emas, cenderamata, pelbagai seperti kasut dan selipar serta alatan dapur.

Tambahnya, untuk fasa kedua pula seperti kedai pakaian, difahamkan akan bermula tidak lama lagi.

Beliau berkata, pembinaan Pasar Payang baru itu adalah hasil perjuangan rakyat Terengganu keseluruhannya.

“Ianya bukan semata-mata mahu mengekalkan ‘seni bina dan keadaan asal bangunan’ sedia ada kerana rata-rata peniaga memahami bahawa untuk terus bertahan dan survival perniagaan Melayu mestilah berdaya saing.

“Kerana itu pendekatan pasar bercirikan rakyat, konsep sama yang menjadikan Pasar Payang sebagai tarikan, khususnya pelancong asing dan domestik, tetapi mempunyai infrastruktur yang lebih selesa dan mesra peniaga, pengunjung serta menarik,” ujarnya.

Maka, ujarnya lagi peniaga perlu meningkatkan daya saing bagi menarik seramai mungkin pelanggan sama ada dalam mahupun luar negeri.

“Harga barang perlulah bagus, mesti mesra pelanggan, banyakkan senyuman, jangan bercakap kasar atau ‘masang cattung’ (bermuka masam) dengan pelanggan, perelokkan kedai masing-masing biar ceria dan menarik, jaga kebersihan dan kekemasan tempat berniaga dan juga persekitaran tempat kita.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan semua peniaga di Pasar Payang ini, insya-Allah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024