KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-67 kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan disambut pada esok, 31 Ogos.
Ketua Penerangannya, Nurul Awatif Fasihah Abdul Halim berkata, erti kemerdekaan yang sebenar tidak hanya terhad kepada bebas daripada penjajah secara fizikal sahaja, tetapi merangkumi merdekanya jiwa dan minda daripada anasir yang negatif.
“Ini bermakna untuk mencapai kemerdekaan yang sejati seseorang atau sesebuah negara perlu memupuk jati diri yang kukuh yang dibina daripada empat tunggak utama iaitu agama, akhlak, bahasa dan pendidikan.
“Pertama, agama untuk memberikan panduan hidup yang benar. Seterusnya, berakhlak untuk memastikan tingkah laku yang baik dan beretika. Selain itu, bahasa untuk mempertahankan identiti dan budaya.
“Akhir sekali, pendidikan bertujuan melengkapkan individu dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk maju,”katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Nurul Awatif berkata, kesemua elemen itu saling melengkapi dan penting dalam membentuk masyarakat yang merdeka dan progresif.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengukuhkan perpaduan dan memperteguh semangat patriotisme demi memelihara kedaulatan negara, sesuai dengan nilai-nilai Islam yang menjadi panduan kita.
“Semoga Malaysia terus maju dan makmur dalam limpahan rahmat-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024