Jangan cemari dikir barat gejala tidak sihat

- Advertisement -

BACHOK: Rakyat Kelantan seharusnya menghargai khazanah seni yang ‘masyhur’ di negeri itu seperti dikir barat agar tidak terpalit dengan gejala tidak sihat.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan individu tertentu merosakkan imej seni dikir barat dengan mempamerkan aksi lucah dikesali.

Menurutnya, kerajaan negeri kesal terhadap segelintir penggiat seni yang disifatkan melampaui batas apabila menari dangdut dengan gaya ‘lucah’ di hadapan umum.

- Advertisement -

“Tindakan individu terbabit mencemarkan tradisi kesenian dikir barat yang dikenali umum di Kelantan.

“Saya tidak kisah status video itu sama ada lama atau baharu, namun perkara yang sangat dikesalkan tarian tersebut berlaku di Bachok,” katanya ketika berucap pada Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat, di sini, semalam. (Foto atas)

Baru-baru ini diviral semula video lama yang disiar pemilik akaun facebook Amran Fans yang mempamerkan aksi seorang perempuan menyanyi dan dua lelaki menari di pentas.

Sehubungan itu beliau mengingatkan semua penggiat seni terutama pendikir barat supaya menjaga kemurniaan seni warisan tradisional tersebut daripada dicemari anasir-anasir negatif.

“Saya juga meminta pemimpin setempat supaya memantau aktiviti dan persembahan kesenian di tempat masing-masing bagi mengelak perkara sama berulang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!