JOHOR BAHRU: Polis terima laporan bahawa seorang lelaki tempatan mendakwa telah menjadi mangsa penipuan pelaburan emas tidak wujud secara atas talian dan mengalami kerugian berjumlah RM141,000.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP) Raub Selamat, berkata kejadian itu bermula pada pertengahan Mac lalu.
“Nombor telefon mangsa yang merupakan pegawai bank, 46, telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan emas diketuai oleh seorang lelaki.
“Kemudian mangsa diberikan satu pautan untuk mendaftar pelaburan itu dan membuat pembayaran kepada seorang broker,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Raub berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus daripada modal pelaburan jika mangsa melabur dalam jumlah yang banyak.
“Mangsa tertarik dan percaya keuntungan yang dijanjikan, lalu telah mendaftar akaun pada pautan yang diberi suspek dan membuat pembayaran sebanyak 10 kali transaksi ke beberapa akaun bank tempatan pada Mei hingga Jun 2024 sehingga mencecah RM141,000.
“Mangsa melihat melalui aplikasi pelaburan terdapat keuntungan sebanyak USD25,177.47 dalam akaun itu tetapi tidak dapat dikeluarkan, malah suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan.
“Oleh demikian, mangsa syak telah ditipu apabila talian mangsa dikeluarkan dari kumpulan ‘WhatsApp’ tersebut,” katanya.
Raub berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.
Justeru, pihaknya menyeru dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sesuatu tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.
“Orang ramai juga boleh membuat semakan di aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan secara atas talian bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek sebelum meneruskan dengan sesuatu transaksi pembayaran.
“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!