KOTA BHARU: Menjelang tanggal 31 Ogos ini kakitangan Hospital Pakar KPJ menyiapkan dua Jalur Gemilang gergasi bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
Pegawai Operasi KPJ Perdana Kota Bharu, Norzana Abdul Rajak berkata, seramai 500 kakitangan menyiapkan bendera tersebut berukuran tujuh meter lebar kali 18 meter panjang.
Katanya, kerja-kerja bagi menyiapkan Jalur Gemilang tersebut mengambil masa selama sebulan bermula 27 Julai dan siap sepenuhnya 27 Ogos lalu.
“Hari ini kita menaikkan dua Jalur Gemilang gergasi dibuat daripada kain kanvas yang dicantum secara jahitan oleh kakitangan.
“Turut mengambil tanggungjawab ini doktor pakar dan Pengarah Hospital KPJ Kota Bharu Dr Mohd Nikman Ahmad yang meluangkan masa bersama kakitangan lain,” katanya selepas majlis Sambutan Ambang Hari Kebangsaan ke-67 di KPJ Perdana Kota Bharu hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi, Nik Mohd Farizan Nik Lah.
Sempena program itu turut dianjur pertunjukan fesyen dewasa, mewarna kanak-kanak, membacaan puisi, perkongsian cerita daripada waris iaitu generasi kelima Tok Janggut dan pelbagai lagi.
Norzana berkata, untuk menyiapkan Jalur Gemilang itu, pihaknya meluangkan masa lebih dua jam sehari.
“Alhamdulillah semua kakitangan memberi komitmen untuk menyiapkan Jalur Gemilang walaupun sibuk dengan tugasan termasuk doktor dan jururawat,” ujarnya.
Beliau berkata, program itu dianjur dengan kerjasama KPJ Perdana Kota Bharu, Kelab Sukan dan Rekreasi dan kumpulan doktor pakar.
Menurutnya juga Jalur Gemilang berkenaan dinaikkan sehingga 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia.
“Program ini diadakan bagi menunjukkan semangat patriotik petugas selain mengajak orang ramai untuk menghayati erti kemerdekaan,” katanya.
Menurutnya, program itu diadakan kali kedua selepas pertama kali diadakan pada 2004 sempena Ulang Tahun ke-23 KPJ Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 29/8/2024