TIDAK cukup dengan menziarahi penduduk kampung yang sakit, kenduri-kendara atau kematian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan turut mengunjungi kedai-kedai makan atau ruang perniagaan penduduk DUN masing-masing.
Tujuan mereka adalah untuk memberi semangat dan galakan kepada mereka untuk terus maju dalam bidang berkenaan.
Pada masa yang sama sebagai seorang pemimpin, mereka juga sering dikunjungi oleh orang ramai sama ada rakyat biasa, pemimpin kerajaan atau ketua-ketua jabatan dan badan beruniform.
ADUN Meranti: Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud
Menteri Besar Kelantan itu menerima kunjungan rasmi Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun.
Kunjungan berkenaan adalah yang terakhir sebelum Zaki menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Kelantan.
“Semoga segala usaha yang telah disusun dan dirancang menjadi platform penting bagi mempererat kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak polis dalam memastikan kesejahteraan rakyat Kelantan terus terpelihara.
“Terima kasih di atas segala jasa dan khidmat cemerlang Dato’ sepanjang berkhidmat di negeri ini,” katanya Ustaz Nassuruddin.
ADUN Wakaf Bharu: Mohd Rusli Abdullah
Telah mengunjungi seorang peniaga yang dikenali sebagai Cik Tie Mie Celup di Kampung Talak, Tumpat.
Kedai Mi Celup berkenaan diusahakan sepasang suami isteri, Sukri Mohd Nor dan Siti Nor Solihi beberapa tahun lalu.
“Gerai ini sebenarnya adalah antara peruntukan yang disumbangkan kerajaan negeri dalam bentuk gerai.
“Alhamdulillah, cukup mengembirakan hati ambo (saya) bila melihat rakyat senang. Tahniah, semoga terus berjaya diucapkan pada suami isteri ini,” katanya.
ADUN Kelaboran: Mohd Adanan Hassan
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Adanan, meneruskan rutinnya untuk menziarahi rakyat dalam DUN berkenaan.
Selain bertanya khabar tentang keadaan pesakit, beliau turut menghulurkan sumbangan kepada mereka yang diuji kesakitan.
“Saya mendoakan semoga mereka yang diuji dengan kesakitan kembali pulih, amin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024