Tak semua layak beri fatwa

- Advertisement -

RAMAI pada hari ini ghairah dengan agama tetapi tiada kefahaman. Ada maklumat yang mencukupi tetapi tiada kefahaman. Ilmu dan kefahaman, kedua-duanya berlainan. Tidak sama orang yang baru sahaja keluar universiti dalam bidang menggaul simen dengan pakcik di kampung yang kerjanya sudah bertahun-tahun menggaul simen.

Tidak sama orang yang ada sijil kulinari dengan ibu kita yang masak. Sedap masakan ibu kita lagi walaupun ibu kita tidak belajar daripada buku atau tengok video masakan. Kefahaman adalah kemahiran. Ibu kita tidak ada sukatan, sekadar mencubit begitu sahaja. Bau masakan pun sedap dan kita menambah berpinggan-pinggan.

- Advertisement -

Abu Hurairah merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis. Beliau selalu mengikut Nabi dan tahu belaka apa yang Nabi buat dan kata. Semua ada dalam kepalanya. Masalahnya ialah banyak hadis yang disampaikan olehnya tanpa kefahaman sehinggalah kecoh di Madinah.

Sayyidatina Aisyah menegurnya. Sebab beliau sekadar menyampaikan hadis tanpa memahaminya. Beliau tidak tahu cerita mengapa Nabi kata begitu begini. Beliau sekadar menyampaikan sahaja. Jadi, apabila orang mendengarnya, akan menganggap bahawa ia adalah hadis. Sedangkan penjelasan dan pelaksanaannya tidak beliau ketahui.

Samalah juga dengan persoalan kiblat ketika solat. Ada disebut dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat ke-115:

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ ۚ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Macam mana kita mengadap pun, di situlah adanya wajah Allah. Jadi, orang yang tidak faham akan menganggap solat ini tidak perlu pun mengadap kiblat. Ini masalah sebab ilmu ada tetapi kefahaman tiada.

Nabi berkata, manusia ialah umpama tanah. Ada tanah yang boleh menyimpan air tetapi pokok tidak tumbuh. Macam telaga, kan air banyak, boleh ke menanam di dalamnya? Tidak boleh. Ada tanah yang boleh menyimpan air, menyerap air dan menumbuhkan pokok. Ada tanah yang tidak lekat apa-apa, ghaib begitu sahaja. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 79).

Kata ulama, perbandingan yang Nabi buat ini adalah kaedah ilmu. Ada orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi tidak mampu nak menyampaikannya sebab tiada kefahaman dengannya. Tetapi ada orang yang memperoleh ilmu dan mampu menyampaikannya kepada orang lain.

Oleh sebab itu, bukan semua perkara yang kita tahu, kita boleh menyampaikannya. Asal tahu, perkara sekian-sekian ada dalam hadis, tetapi dia sendiri tidak belajar hadis. Hadis sama macam al-Quran yang harus difahami.

Al-Quran ada asbab nuzul. Mengapa suatu ayat itu diturunkan atau latar belakangnya. Barulah kita nampak tujuannya. Apabila sudah nampak tujuan, barulah kita boleh mentafsirkannya. Hadis pula ada asbab wurud. Mengapa suatu hadis dikeluarkan. Ada cerita di sebaliknya. Tidak faham cerita yang membawa kepada masalah.

Apabila ditanyakan kepada Nabi, apakah amalan yang paling afdal? Jawapan Nabi tidak serupa belaka. Ada yang Nabi jawab solat di awal waktu. Ada Nabi jawab berbuat baik kepada mak ayah. Ada juga Nabi jawab berjihad fi sabilillah. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 527).

Bagi orang yang tidak faham akan menganggap pelik sebab ketiga-tiga jawapan tersebut kelihatan bercanggah. Nabi memberi jawapan kepada orang yang berbeza keadaannya. Oleh kerana Nabi ialah doktor pakar, jadi Baginda memberi ubat mengikut penyakit. Oleh itu, fahamilah dahulu asbab wurud, barulah kita dapat memahami hadis.

Al-Quran pun sama. Bukan semua orang yang boleh menghafal al-Quran dapat mentafsirnya. Ada belasan syarat nak mentafsir al-Quran. Bagi orang yang tidak faham, dia menganggap semua itu untuk menyusahkan. Bukan, itulah disiplin ilmu.

Sama juga kalau kita nak menjadi ‘engineer’, arkitek mahupun doktor, ada prosesnya. Perlu belajar, makan masa bertahun-tahun, lulus ujian-ujian, dapat kelulusan daripada badan yang diiktiraf, ada sijil, barulah layak. Semua bidang profesional ada badan yang menentukan seseorang itu sama ada layak atau tidak. Agama pun begitu juga, ada prosesnya cuma tiada badan pengawal.

Semasa zaman Sayyidina Umar, beliau menegur sesiapa sahaja yang suka banyak bercakap mengenai agama sebab mereka tidak layak. Tidak ramai sahabat yang boleh mengeluarkan fatwa.

Antaranya ialah Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Umar. Walaupun menghafal al-Quran dan duduk bersama-sama dengan Nabi, tetapi bukan semua orang mampu mengeluarkan fatwa. Bukan semua orang layak untuk memberi fatwa. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!