Saliran air terhalang punca banjir kilat di Taman Saujana Perdana

Halim ketika melakukan tinjauan di anak sungai Taman Saujana Perdana, Selangor. (FOTO: Facebook @Datuk Dr Halim Tamuri)
- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda di kawasan Taman Saujana Perdana pada musim hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri, berkata pihaknya telah melakukan tinjauan ke anak sungai di kawasan itu bagi mengkaji punca berlakunya kejadian ini.

- Advertisement -

“Di kawasan ini didapati anak sungai tertutup dengan semak-samun, pokok-pokok dan sampah-sarap akibat tidak diselenggara dengan baik dan menyebabkan saliran air terhalang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, pihaknya mengambil maklum dan mengadukan perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya demi kesejahteraan penduduk setempat.

Hal demikian, jika permasalahan ini tidak ditangani segera akan menjadi lebih buruk pada masa akan datang jika punca-puncanya dibiarkan berlarutan.

Memetik laporan Sahabat Alam Malaysia, kekerapan dan intensiti hujan dijangka akan meningkat kerana perubahan iklim dan sebarang perancangan pembangunan dan penyelenggaraan sistem perparitan perlu diambil kira kesan daripada perubahan iklim. – HARAKAHDAILY 28/8/2024