Namibia halang kapal Israel berlabuh

Pelabuhan Walvis Bay di Namibia. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

WALVIS BAY: Pihak berkuasa Namibia menghalang sebuah kapal yang membawa barangan tentera ke Israel daripada berlabuh di negara itu, di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza.

Menteri Kehakiman, Yvonne Dausab mengesahkan bahawa kapal itu, yang dikenali sebagai MV Kathrin, telah dihalang daripada berlabuh kerana bahan letupan yang dibawanya itu dijadualkan dihantar ke Israel, lapor Al Mayadeen.

Beliau menambah bahawa tindakan yang diambil terhadap kapal itu selaras dengan sokongan Namibia terhadap rakyat Palestin dan gesaan negara itu untuk menamatkan perang ke atas Gaza.

- Advertisement -

“MV Kathrin memang membawa bahan letupan yang ditujukan untuk Israel, oleh itu ia dilarang daripada memasuki perairan Namibia.

“Namibia mematuhi kewajipan kami untuk tidak menyokong atau terlibat dalam jenayah perang Israel, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, serta pendudukan yang menyalahi undang-undang di Palestin,” katanya.

Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia Namibia, Amanah Keadilan Ekonomi dan Sosial (ESJT) memuji keputusan yang diambil oleh kerajaan negara itu.

“Kami gembira kerana kerajaan kami telah memutuskan untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan memutuskan untuk tidak terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai,” kata pengerusinya, Herbert Jauch.

ESJT pada minggu lalu di dalam surat terbukanya kepada Pihak Berkuasa Pelabuhan Namibia (Namport) menolak kemasukan kapal MV Kathrin berkenaan.

Jauch memberi amaran dalam surat itu bahawa dengan membenarkan kapal yang membawa peluru dan peralatan yang mungkin akan digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai berlabuh di mana-mana pelabuhan Namibia, Namport mungkin menjadikan dirinya dan negara itu terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai.

MV Kathrin yang berlepas dari Vietnam, telah meminta kebenaran untuk berlabuh di pelabuhan Walvis Bay sebelum meneruskan perjalanannya ke utara, mungkin ke arah Mediterranean melalui Selat Gibraltar. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -