
KUALA LUMPUR: Satu lagi kes mendapan tanah berlaku selepas sebuah longkang di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, di sini runtuh mengakibatkan terjadinya lubang besar dikhuatiri merupakan lubang benam.
Menerusi kemas kini daripada Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa, pihaknya melaporkan kejadian terbabit dilaporkan berlaku sekitar jam 10 malam pada Isnin.
“Kerja-kerja awalan seperti pemasangan tali keselamatan, penghalang aliran air (water barrier) dan kon telah dilakukan di kawasan kejadian pada jam 10 malam (Isnin),” katanya.

Menerusi gambar dikongsi di FB berkenaan, kawasan terlibat membabitkan laluan pejalan kaki selain turut membabitkan sebahagian kecil struktur jalan bersebelahan.
Isu tanah mendap dan lubang benam menggemparkan negara pada Jumaat (23 Ogos lalu), susulan insiden pada jam 8 pagi di Jalan Masjid Masjid membabitkan seorang mangsa, pelancong dari India, Vijayaletchumy, 48, yang dilaporkan masih hilang selepas terjatuh dan tertimbus. – HARAKAHDAILY 28/8/2024